Connect with:




Selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara, skuad kendalian Niko Kovac kembali dalam prestasi terbaik untuk merangkul gelaran Bundesliga selepas mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Mainz 05 di Allianz Arena.

Bayern Munich mula berpesta gol seawal minit ketiga perlawanan selepas penjaring terbanyak mereka, Robert Lewandowski menyambar hantaran yang dilakukan oleh David Alaba.

Sebelum tamat babak pertama, Bayern menambah dua gol lagi daripada James Rodriguez dan Kingsley Coman pada minit ke-33 dan ke-39.

Dalam perlawanan itu, Rodriguez mencatat hatrik pertamanya bersama Bayern selepas meledak dua gol lagi pada minit ke-51 dan ke-55.

Bayern melengkapkan kemenangan 6-0 hasil jaringan pemain muda yang berumur 18 tahun, Alphonso Davies. Gol itu juga merupakan gol pertamanya bersama Bayern selepas melakukan lima penampilan.

“Kami menunjukkan kami telah melupakan kekecewaan yang dihadapi selepas tewas di tangan Liverpool dan penting untuk kami memberi reaksi”, kata jurulatih Bayern, Kovac.

Rodriguez menyertai Bayern secara pinjaman hingga hujung musim ini dari Real Madrid menerima penghormatan daripada penyokong ketika dia dikeluarkan untuk digantikan dengan Rafinha.

“Saya gembira untuk dia dan sememangnya dia layak menerima tepukan gemuruh,” kata Kovac yang enggan mengulas lanjut sama ada pinjaman Rodriguez akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Kemenangan tersebut membolehkan Bayern kembali merampas kedudukan teratas Bundesliga dari Borussia Dortmund dengan perbezaan jaringan yang sebelum ini menewaskan Hertha Berlin 3-2 dengan berbaki lapan perlawanan sahaja lagi.

Foto : Sportskeeda