Penyerang Belgium, Michy Batshuayi meledak jaringan kemenangan pada minit terakhir, memberikan Chelsea kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid di laman baru mereka, Wanda Metropolitano, Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Atletico membuka jaringan menerusi Antoine Griezmann dengan sepakan penalti, lima minit sebelum tamat babak pertama.

Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, kembali menghantui Atletico itu dengan menyahut hantaran lintang Eden Hazard untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

Batshuayi yang mucul sebagai pemain gantian, menyempurnakan hantaran silang Marcos Alonso untuk memberikan kemenangan kepada The Blues pada minit ke-94.

“Ini merupakan gol yang penting buat Michy, dia masih muda dan musim lalu dia berjuang banyak untuk memahami corak permainan Liga Perdana Inggeris,” kata pengurus Chelsea, Antonio Conte.

Foto Kredit: Twitter ChelseaFC