“Kami mempunyai pemain-pemain yang bagus dan ada diantara mereka adalah pemain kebangsaan Malaysia,” itulah pandangan Daniel Baroni, salah seorang pemain import Kedah dari Brazil mengenai pasukan Kedah.

Daniel Baroni Soares Neves, 31, beraksi di posisi tengah adalah produk remaja kelab Brazil iaitu Atletico Mineiro sebelum berhijrah ke beberapa kelab lain di Brazil, Bolivia, Nepal dan Indonesia. Di Indonesia, dia beraksi bersama kelab PSM Makassar untuk musim 2009/2010 yang beraksi dalam Liga Premier Indonesia.

Jadi, komunikasi bukanlah masalah besar kerana dia mampu berbahasa Inggeris dan sedikit dalam bahasa Melayu-Indonesia. Menurutnya, walaupun Kedah dibarisi pemain muda, namun faktor pemain muda ini mungkin boleh menjadi pemangkin sekiranya digunakan dengan baik.

“Saya amat berharap dapat membantu rakan-rakan dan pasukan Kedah untuk menjalani musim yang baik serta mengejar kejuaraan liga,” katanya mengenai misinya bersama Kenari musim 2012.

Sementara itu, pasukan Kedah dilihat bakal menyandarkan harapan penuh pada peledak tempatan dalam aksi musim depan kerana pengurusan Kedah memilih untuk tidak mengambil penyerang import. Pemain import yang diikat adalah untuk posisi tengah (Daniel Baroni) dan pertahanan iaitu Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo.

Dan besar kemungkinan, Kedah bakal menggunakan seorang penyerang di hadapan sambil dibantu pemain tengah yang lebih offensive. Ini kerana, Kedah telah kehilangan dua penyerang yang berhijrah ke pasukan lain iaitu Azlan Ismail (Kelantan) dan Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan).

Bagi penyerang muda Kedah, Khyril Muhymeen Zambri, dia tidak merasa janggal sekiranya beraksi sebagai penyerang utama kerana ia bukan sesuatu yang baru untuknya. Dalam aksi Piala Malaysia musim lalu, dia telah diletakkan sebagai penyerang tunggal dan berjaya menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan.

Dalam pada itu, walaupun pernah menyuarakan hasratnya untuk berhijrah ke Liga Super Indonesia, Baddrol Bakhtiar akhirnya kekal di Kedah dan dilihat antara calon yang bakal dilantik sebagai kapten Kedah untuk musim hadapan.

“Saya akan pergi sekiranya Kedah rela melepaskan saya. Buat masa ini saya masih pemain Kedah sehingga habis musim 2012,” ujar pemain tengah yang berusia 23 tahun ini.

Selain Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar, Kedah turut mengekalkan beberapa pemain bintang mereka antaranya Faizal Abu Bakar, Amar Rohidan, V. Thirumurugan dan Mohd Sabree Abu. Lainnya adalah Mohd Fauzie Nan, Mohd Fiqry Mat Isa dan Khairul Helmi Johari serta tiga penjaga gol, Helmi Eliza Elias, Abdul Hadi Abdul Hamid dan Mohd Muhaimin Mohammad.

Antara muka baru skuad Kenari adalah Azmizi Azmi dan Mohd Sany Mat Isa dari Perlis, Mohd Bashahrul Abu Bakar (Harimau Muda A), Mohd Syamim Alif Mohd Sobri (Harimau Muda B), See Kok Luen (Kuala Lumpur), Mohd Kamal Azira Abdul Manah (USM FC), Abdul Latiff Suhaimi (Pulau Pinang) dan Ahmad Basri Abdul Wahid.

Kedah kekal dibimbing Wan Jamak Wan Hassan dan akan dibantu Radhi Mat Din, namun akan diambil alih seketika oleh jurulatih Piala Presiden, Mohd Nidzham Adzha Yusof untuk tempoh sebulan.  Ini kerana  dalam tempoh tersebut, Wan Jamak dan Radhi Mat Din akan menjalani penggantungan masing-masing iaitu tujuh perlawanan (Wan Jamak) dan empat perlawanan (Radhi Mat Din).