Persatuan pemain bola sepak profesional Malaysia (PFAM) menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM9,637 kepada Adra Medina yang mengidap penyakit jantung.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh barisan kepimpinan PFAM di Sungai Buloh bagi persiapan Aidilfitri untuk seisi keluarga Adra.

Wang sumbangan tersebut diserahkan kepada bapa Adra, iaitu Mohd. Alafi Mahmud di kediaman bapa mertuanya.

Antara yang hadir adalah Presiden PFAM Hairuddin Omar, Timbalan Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya, Bendahari PFAM Amiridzuan Taj, Exco PFAM Rudie Ramli dan Mohd Fairuz Abdul Aziz serta CEO PFAM Izham Ismail.

Hairuddin berkata, pihaknya bersyukur inisiatif tersebut berjaya mencapai matlamatnya untuk membantu keluarga Adra yang sedang melalui kesulitan.

“PFAM sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan sumbangan dari rakan-rakan pemain membuktikan solidariti antara pemain di Malaysia amat kuat.

“Semoga sumbangan ikhas ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan saudara Alafi” tambah Hairuddin.

Hal ini merupakan rentetan dari inisiatif PFA Malaysia mengadakan kutipan dana “Titipan Sinar Harapan PFAM Untuk Adra Medina” yang dimulakan pada 2 Jun yang lalu.

Tanggal 4 Jun, PFA Malaysia menerima perkhabaran gembira apabila Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim akan menampung keseluruhan kos pembedahan pertama adik Adra Medina yang telah dijalankan pada 10 Jun lalu.

Bagi Alafi, beliau bersyukur kerana pembedahan pertama yang dijalankan memberikan kesan yang positif buat Adik Adra Medina.

“Keadaan Adra semakin stabil dan buat masa ini Adra memerlukan penjagaan yang rapi untuk memastikan pemulihan yang maksimum sebelum pembedahan susulan apabila berat Adra mencecah 10 kilogram nanti”

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PFA Malaysia atas inisiatif ini, tidak lupa juga kepada Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang sudi menampung kos pembedahan pertama, ahli PFA Malaysia dan orang ramai yang memberikan sumbangan dan menularkan mengenai perkara ini”. Jelas Alafi.

Sebarang sumbangan selepas ini boleh terus disalurkan kepada akaun peribadi CIMB Bank Adra Medina Mohd Alafi – 7622031000.