Connect with:




Real Madrid menghadapi kekalahan yang memalukan dalam pertembungan Clasico menentang Barcelona selepas tewas besar 1-5, di saingan La Liga, Sepanyol awal pagi tadi.

Lebih ‘mengaibkan’, Barcelona yang kehilangan tonggak utama, Lionel Messi ternyata berjaya mendominasi perlawanan di Camp Nou apabila Luis Suarez meledak hatrik untuk membantu pasukannya meratah seteru utama mereka.

Real yang dilihat gagal mempamerkan persembahan yang baik dan menunjukkan pertahanan yang cukup rapuh hanya mampu memberikan saingan sengit dalam tempoh 15 minit sebelum tamat babak pertama sebelum mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar sepanjang tempoh babak kedua.

Dalam perkembangan yang sama, kekalahan ini juga berkemungkinan bakal menjadi faktor utama jurulatih Real Madrid, Julen Lopetegui akan dipecat dalam jangka masa terdekat.

Dalam aksi pagi tadi, Philippe Coutinho mencetak jaringan pertama pada minit ke-11.

Marcelo memberikan sedikit nafas kepada pelawat apabila merembat kencang untuk gol tunggal Real pada minit ke-50, sekaligus merapatkan kedudukan 1-2.

Namun, Suarez nyata cukup bijak menggunakan kesempatan dan menganas dengan meledak hatrik pada minit ke-30, ke-75 dan ke-83 sekali gus membuktikan kemahirannya yang diakui meskipun ketiadaan pemain terbaik dunia di dalam pasukan.

Babak minit terakhir menyaksikan Arturo Vidal melengkapkan kemenangan penuh bergaya menerusi tandukan pada minit ke-87.

Setakat ini, Lopetegui hanya meraih satu kemenangan dalam enam perlawanan dan Real masih kekal di tangga kesembilan liga, tujuh mata ketinggalan di belakang Barcelona yang kembali merampas takhta La Liga.

Foto: FC Barcelona