Connect with:




Barcelona menepati ramalan apabila mudah menetepikan cabaran Lyon dengan kemenangan besar 5-1 di Nou Camp untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Barcelona tidak menunggu lama untuk mendahului hasil daripada sepakan penalti Lionel Messi pada minit ke-18 sebelum Philippe Coutinho melebarkan kedudukan menjadi 2-0 sebelum tamat babak pertama permainan.

Lyon cuba bangkit dan hasilnya berjaya merapatkan jurang kepada 2-1 hasil jaringan Lucas Tousart, namun  ia tidak menghalang Messi menyumbat gol kedua peribadi sebelum mencipta umpanan bagi gol yang disempurnakan Gerard Pique dan Ousmane Dembele untuk menutup malam gemilang buat Barcelona.

Wira Barcelona, Messi kini sudah mengumpul 108 gol dalam kempen Liga Juara-Juara manakala Cristiano Ronaldo memiliki 124 gol.

Barcelona turut layak ke peringkat suku akhir buat kali ke-12 berturut-turut dan mengekalkan rekod 30 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri dalam saingan Eropah.

Menurut jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, Messi seorang yang menakjubkan dengan dua jaringan dan dua umpanan gol.

“Kami semua fokus dalam perlawanan ini termasuk Leo. Kami dominasi perlawanan, kami mencipta peluang dan kami menjaringkan dua gol dan mampu menambah satu lagi sepatutnya.

“Pada separuh masa kedua, Lyon cuba memberi saingan kepada kami tetapi barisan penyerang kami dapat menyempurna peluang dengan baik.

“Ini adalah Liga Juara-Juara, anda tidak boleh selesa jika mendahului 2-0 kerana ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk lawan mengejar”, kata Valverde.

Penyingkiran penyandang juara, Real Madrid dan Atletico Madrid menyaksikan Barcelona menjadi wakil tunggal dari Sepanyol yang mara ke peringkat lapan terbaik Liga Juara-Juara musim ini.

England pula mempunyai empat wakil iaitu Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur diikuti satu masing-masing dari Itali iaitu Juventus, Porto (Portugal) dan Ajax (Belanda).

Foto: FC Barcelona