Connect with:




Sevilla akhirnya terpaksa berputih mata selepas tewas dibelasah kelab gergasi Sepanyol, Barcelona 6-1 sekaligus mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

Barcelona yang dibaham Sevilla 2-0 dalam perlawanan pertama dahulu mampu mengubah nasib mereka dalam aksi timbal balik apabila Philippe Coutinho membuka tirai jaringan menerusi penalti sebelum Ivan Rakitic meledak gol kedua.

Babak kedua menyaksikan benteng pertahanan Sevilla goyah selepas Barcelona mempamerkan aksi garang seterusnya berjaya meledak gol kedua menerusi Coutinho sebelum Sergi Roberto meledak gol keempat pasukan berkenaan.

Sevilla yang cuba bangkit di Nou Camp hanya mampu mencetak satu jaringan hasil rembatan Guilherme Arana.

Jaringan dua gol terakhir menerusi Messi dan Luis Suarez berjaya melengkapkan kemenangan kelab gergasi Sepanyol itu sekaligus menempah tiket ke separuh akhir bersama Valencia dan Real Betis.

Segelintir pihak merasakan Barcelona mungkin lega jika tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol bagi membolehkan mereka fokus terhadap aksi Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara tetapi Messi menegaskan prestasi ditunjukkan dalam perlawanan itu sudah menutup mulut pengkritik.

“Ada yang kata kami sanggup korban trofi ini, tetapi sebenarnya tak. Skuad ini mahu bersaing memburu semua tiga gelaran kerana ia sudah menjadi kewajipan kepada Barcelona setiap tahun,” kata Messi.

Barcelona yang juga juara bertahan mara ke separuh akhir buat kali sembilan berturut-turut dan semakin hampir bagi melakar gelaran kelima berturut-turut.

Dalam perkembangan lain, Real Madrid kemungkinan besar akan mengisi satu lagi tempat di separuh akhir selepas mereka menang 4-2 dalam aksi pertama ke atas Girona. – AFP

Foto: FC Barcelona