Bandar Mahkota yang terletak di Banting, Selangor ditetapkan sebagai gelanggang bagi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 menggantikan venue asal di Putrajaya pada 26 hingga 27 Mei ini.

“Saban tahun, ruang yang diperlukan untuk penganjuran Cub Prix semakin bertambah luas. Sebab itulah kami memilih untuk memindahkan perlumbaaan ke Banting, kerana di sana memenuhi apa yang diperlukan.

“Semua ini di ambil kira tidak hanya dari jumlah kehadiran penonton pada setiap pusingan Cub Prix, malah perkara-perkara lain seperti aspek keselamatan, keperluan padok, dan juga hal-hal logistik,” jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), iaitu promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Litar baru ini mempunyai jarak 1.3km, iaitu litar terpanjang bagi musim 2012 selepas Litar Sepang (Selatan) pada November depan. Dengan pengumuman litar baru ini, semua pelumba akan bersaing secara adil tanpa sebarang kelebihan kepada mana-mana pasukan.

“Kali terakhir perlumbaan berlangsung di litar baru adalah sewaktu di Kangar di mana ketika itu berlaku perubahan terhadap arah laluan litar. Suasana perlumbaan yang dipamerkan cukup mencabar di mana pelbagai kejutan telah berlaku dalam setiap kategori perlumbaan. Walaupun perubahan saat akhir ini menyebabkan lebih banyak tugasan dan kerja keras yang perlu dilakukan, untuk tempoh jangka panjang, ia sebenarnya dapat meningkatkan lagi tahap persaingan di dalam Kejuaraan ini, jelas Ron.

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com