Connect with:




The Kuala Lumpur Major (KL Major) Dota 2 yang berakhir semalam menyaksikan pasukan berpangkalan di Russia, Virtus Pro (VP) keluar sebagai juara sulung pertandingan sukan elektronik atau lebih dikenali dengan e-Sports itu dengan mengetepikan cabaran Team Secret (Secret) di aksi grand final dalam pertarungan lima pusingan di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam dengan keputusan 3-2.

VP yang sebelum ini mengalami kekalahan di tangan Secret yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke grand final pada pusingan akhir upper bracket dengan keputusan 2-1 hampir terlepas peluang untuk ke grand final apabila terpaksa beraksi dalam pusingan akhir lower bracket bertemu Evil Geniuses.

Tekad mahu ke pentas grand final, VP tidak mempersia-siakan peluang kedua yang dimiliki apabila tiada masalah mengetepikan Evil Geniuses dengan keputusan bergaya 2-0 bagi mengesahkan slot di grand final untuk membuat perhitungan terakhir membawa misi melunaskan dendam pada kekalahan di peringkat akhir upper bracket  bertemu Secret.

“Virtus Pro bangkit dari ketinggalan 1-2 sebelum mengesahkan kejuaraan dengan keputusan 3-2.”

Turun beraksi di hadapan lebih 10, 000 penonton yang membanjiri Axiata Arena, kedua-dua pasukan mempersembahkan aksi melawan yang menarik di mana VP pada satu ketika ketinggalan dengan keputusan 1-2 tamat pusingan ketiga.

Memasuki pusingan keempat, perubahan percaturan yang menarik menyaksikan kebangkitan dipamerkan VP untuk kembali menguasai pusingan keempat serta kelima bagi mengesahkan gelaran juara The KL Major menjadi milik mereka.

“Virtus Pro membawa pulang trofi Kejuaraan, wang tunai US$350, 000 berserta 4950 mata Dota Pro Circuits (DPC).”

Dibarisi lima peserta lelaki iaitu Roman Kushnaryov yang bertindak selaku kapten pasukan, Vladimir Minenko, Pavel Khvastunov, Alexey Berezin dan Vladimir Nikogosyan, VP yang muncul juara membawa pulang US$350,000 (RM1.4 Juta) selain memungut 4950 mata Dota Pro Circuits (DPC) dan mereka hampir pasti mengesahkan kelayakan ke The International 2019 di Shanghai, China.

Dalam pada itu pasukan Team Secret yang muncul naib juara dibarisi peserta dari beberapa negara, Michal Jankowski, Yeik Nai Zheng, Ludwig Walhlberg, Yazied Jaradat dan Clement Ivanov (ketua pasukan) membawa pulang wang tunai US$170, 000 berserta 2, 100 DPC.

Sementara tempat ketiga menjadi milik pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Evil Geniuses yang tunduk 2-0 di tangan VP pada pusingan akhir lower bracket. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak US$100,000 dan 2,100 DPC.

“Peserta pasukan Team Secret, MidOne merupakan anak tempatan terpaksa akur terlepas kejuaraan di laman sendiri.”

Harapan buat peminat tanah air untuk melihat peserta pasukan Team Secret, MidOne atau nama sebenarnya Yeik Nai Zheng yang merupakan anak jati Malaysia menjulang trofi kejuaraan di laman sendiri musnah apabila Secret terpaksa akur dengan kebangkitan VP.

MidOne yang sebelum ini berjaya membantu Secret menundukkan VP pada pusingan akhir upper bracket terpaksa menelan kepahitan tiada kejuaraan di laman sendiri buat dirinya.

Menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak US$1 Juta (RM4.1 juta) pertandingan itu berjaya menarik penyertaan 16 pasukan terbaik dunia untuk hadir ke Malaysia dan dimaklumkan penjualan tiket kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 November itu mencapai 100 peratus habis terjual memasuki hari terakhir pertandingan.

Untuk makluman, kejohanan The KL Major ini merupakan kejohanan Dota 2 terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini dan ianya mendapat sokongan sepenuhnya dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Foto : eGG Network