Connect with:




Setelah berakhirnya pusingan kedua Divisyen Satu AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2019 di The Challenger Sports Centre, Ampang yang menyaksikan kelab badminton Kuantan Synergy (KSBC) terus mendominasi saingan ACPLJ musim ini.

KSBC yang melakar enam kemenangan berturut-turut itu dilihat sukar digugat oleh pasukan-pasukan lain. KSBC mengumpul sebanyak (1051 – 905) mata sepanjang enam perlawanan itu. Namun, mengekori rapat di belakang ialah kelab badminton Bandar Maharani (BMBC) yang juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah setelah melalui lima perlawanan dengan mengutip sebanyak (905 – 754) mata.

KSBC tidak boleh terlalu yakin untuk mendakap kejuaraan ACPLJ2019 kerana di pusingan terakhir, apa-apa boleh terjadi berikutan saingan yang amat sengit di antara pasukan yang bertanding.

Musim lepas, Ampang Jaya Badminton Club (AJBC) mendahului liga memasuki pusingan terakhir namun mereka terpaksa berputih mata apabila kelab badminton Bukit Cheras BC (BCBC) memintas kedudukan mereka di saat-saat akhir lalu berjaya menjulang kejuaraan daripada dakapan AJBC.
Pasukan dari Muar yang dilatih oleh Yap Kim Heng itu tampil dengan aksi meyakinkan untuk terus berada di landasan terbaik bagi mendapatkan momentum untuk mengejutkan pendahulu liga, KSBC sekaligus merangkul kejuaraan sulung ACPLJ2019.
Perlawanan antara KSBC dan BMBC bakal menjadi tumpuan tatkala kedua-dua pasukan mempunyai momentum terbaik bagi melengkapkan saingan ACPLJ sebagai juara liga. Perlawanan ini dianggap sebagai perlawanan penentuan juara memandangkan mereka memiliki peluang yang amat cerah untuk dinobatkan sebagai juara ACPLJ musim kelima.

Sementara itu, Kepong BC juga berpeluang muncul juara seandainya mereka berjaya menang bergaya di dalam semua baki perlawanan pada pusingan akhir nanti.
Dalam pada itu bagi jurulatih BMBC, Yap Kim Heng optimis dengan kesemua pemain BMBC telah bersedia untuk berentap dengan KSBC yang dianggap sebagai pasukan pilihan bagi menjulang kejuaraan musim ini.

“Bagi persiapan pusingan akhir ACPLJ minggu ini, anak-anak buah saya sentiasa fokus untuk merpersiapkan diri bagi menghadapi baki perlawanan di Sports Arena Sentosa kelak. Di atas kertas, KSBC merupakan pasukan pilihan namun kami akan mencuba sedaya upaya untuk menewaskan KSBC.

“Setiap pemain memainkan peranan masing-masing kerana kami tidak boleh lagi keciciran mata untuk baki tiga perlawanan nanti.” ujar Yap Kim Heng.

Di dalam Divisyen Dua, Ayer Itam BC (AIBC) masih lagi unggul dengan rekod tanpa kalah sepanjang empat perlawanan akan tetapi pasukan seperti Klang Rising BC, Desa Petaing BC dan Serdang BC masih lagi berpeluang untuk merebut slot automatik ke Divisyen satu musim depan.

Pada aksi minggu lepas, AIBC berjaya menewaskan pasukan seperti PGBC dan Serdang BC lalu mengumpul sebanyak (748 – 642) mata berbaki 4 perlawanan lagi.
AEON Credit Purple League Junior akan melabuhkan tirai pada 19 & 20 Oktober nanti di Sports Arena Sentosa.