Connect with:




Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersikap terbuka sekiranya jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berhasrat menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata yang dijadualkan berlangsung di Arena Axiata dari 2 hingga 7 April ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu perlu mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya sebelum dibenarkan beraksi pada kejohanan peringkat ketiga Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu yang menawarkan wang tunai berjumlah US$700,000 (RM2.862 juta).

“Saya difahamkan beliau perlu mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya pada minggu depan, jadi kita tunggu keputusan tersebut. Sebagaimana yang kita katakan sebelum ini kesihatan beliau lebih penting,” katanya.

BAM sebelum ini mengesahkan penyertaan Chong Wei dalam kejohanan tersebut. Selain Chong Wei dua pemain perseorangan di bawah naungan BAM, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven turut disenaraikan.

Sekiranya beliau dapat beraksi di Terbuka Malaysia, ini adalah kejohanan pertama yang bakal disertai Chong Wei selepas kali terakhir membuat penampilan di pentas antarabangsa pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Sebelum ini, Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal yang memaksanya untuk berehat panjang.

Untuk rekod, Chong Wei sudah berjaya merangkul gelaran Kejohanan Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali bermula dari 2004. – BERNAMA

Foto : BAM