Connect with:




Persatuan Badminton Malaysia (BAM), meminta gandingan Goh V-Shem – Tan Wee Kiong kembali meningkatkan prestasi andai enggan berdepan risiko digugurkan.

Pasangan regu utama negara itu dilihat bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik hingga memaksa BAM untuk memberi tempoh empat bulan pertama awal tahun depan dan andainya tiada peningkatan prestasi maka mereka akan disingkirkan.

Hal ini kerana BAM merasakan sudah memberi pelbagai peluang buat regu tersebut termasuk tidak menggandingkan pasangan itu pada tahun lalu.

Setelah gagal memenangi sebarang gelaran dalam tempoh dua tahun dan diikuti dengan prestasi konsisten tersingkir di awal mana-mana kejohanan yang mereka sertai, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu kini berdepan kritikan hebat.

Meskipun masih berada dalam program  BAM untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, regu yang masih memegang status selaku pasangan nombor satu negara itu dilihat kesuntukan peluang untuk melayakkan diri.

“Mereka masih lagi berada dalam perancangan kami bagi Sukan Olimpik 2020, namun kami meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) buat mereka.

“Jika KPI itu gagal dicapai, saya khuatir mereka mungkin tidak akan berada lama dalam BAM,” kata Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, selepas mempengurusi Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Sementara itu dua lagi regu negara selain V Shem-Wee Kiong adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang masih lagi tercari-cari rentak permainan sebenar serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih mempamerkan prestasi tidak menentu.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann masih lagi yakin dan menaruh kepercayaan bahawa V Shem-Wee Kiong masih lagi relevan sebagai gandingan utama.

“Saya masih percaya mereka mampu untuk kembali pada tahap terbaik. Saya sudah berbincang dengan mereka dan mereka sedar tidak berjaya memberikan persembahan terbaik sejak kebelakangan ini.

“Kami akan bantu mereka dan dalam masa sama mereka perlu sedar apa yang harus dilakukan,” jelas Choong Hann.

Foto : Facebook Badminton Association of Malaysia