Connect with:




Kejuaraan Motosikal Dunia telah pun berakhir semalam di Valencia yang penuh dengan insiden kemalangan selepas cuaca buruk yang turun membuatkan para penunggang berdepan kesukaran berlumba di atas litar.

Juara dunia, Marc Marquez antara yang gagal menamatkan perlumbaan. Pelumba pilihan ramai, Valentino Rossi pula sekadar berada di tempat ke-13 sementara Dani Pedrosa yang berlumba buat kali terakhir sebelum bersara dari dunia perlumbaan berada di tempat kelima.

Secara ringkas, Honda jelas masih menjadi jentera untuk dikalahkan selepas meninggalkan jauh dua lagi jenama hebat dalam dunia permotoran iaitu Ducati dan Yamaha.

Musim 2018 juga satu musim yang pastinya menjadi tumpuan peminat motosikal Malaysia dimana buat pertama kalinya kelas premier iaitu MotoGP menampilkan pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin yang mewakili pasukan Yamaha Tech3. Selain itu, kelibat dua pelumba tempatan lain iaitu Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norroddin (Moto3) turut merancakkan lagi sokongan rakyat Malaysia terhadap siri perlumbaan utama motosikal dunia ini.

Bagaimana prestasi ketiga-tiga pelumba ini pada musim 2018? Dunia Sukan membawakan kupasan ringkas terhadap prestasi mereka.

1) HAFIZH SYAHRIN

Debut Pescao dalam kelas premier boleh dikatakan memuaskan dan tidak mengecewakan. Hafizh mengakhiri kalendar perlumbaan di tangga ke-16. Hanya 4 mata memisahkannya dengan Franco Morbidelli dalam perebutan takhta Rookie Of The Year.

46 mata berjaya dikutip Hafizh dengan hanya 3 perlumbaan sahaja menyaksikannya tidak menamatkan perlumbaan iaitu di Austin, Catalunya dan Australia. Prestasi terbaik Hafizh datang pada perlumbaan kedua iaitu di Argentina dimana dia menduduki tempat ke-9.

Aksinya di laman sendiri iaitu Sepang juga tidak mengecewakan. Memulakan perlumbaan di petak terakhir, Hafizh menampilkan tunggangan terbaik memotong pelumba-pelumba di hadapan untuk berada di kelompok 10 terbaik.

Pada musim 2019, Hafizh akan beralih menggunakan jentera baharu iaitu KTM selepas Tech3 mengumumkan penggunaan enjin baharu selepas 20 tahun bersama dengan Yamaha.

Ini sudah tentu akan memberikan cabaran baharu buat Hafizh namun dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang 2018, ia pasti akan membantunya dalam berdepan cabaran 2019.

 

2) KHAIRUL IDHAM PAWI

Pada awalnya, Malaysia mempunyai dua orang wakil dalam kelas Moto2. Selain Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin turut beraksi sebelum khidmatnya ditamatkan pada bulan May.

Khairul atau lebih dikenali sebagai Superkip mencipta nama pada 2016 selepas memenangi dua perlumbaan dalam musim pertamanya di Moto3. Dia naik ke kelas Moto2 tahun lalu untuk meraih 10 mata.

Prestasi Superkip jelas merosot tahun ini. Hanya 1 mata sahaja berjaya dikutip iaitu pada perlumbaan di Perancis. Selebihnya, dia berada dalam kelompok penghujung.

Pelumba Idemitsu Honda Team Asia itu jelas bergelut untuk memperagakan tunggangan terbaik dengan rata-rata isu teknikal membelenggunya.

Selepas Honda Team Asia membuat keputusan menyenaraikan Dimas Pratama dan pelumba Thailand, Somkiat Chantra untuk kalendar 2019, Khairul pastinya lega apabila jodohnya masih panjang dengan Moto2.

Tahun hadapan, dia akan berluma untuk pasukan Petrinos Sprinta Racing, menggantikan pelumba Finland, Niki Tuuli.

 

3) ADAM NORRODIN

Pelumba Moto3 negara ini memulakan musim 2018 dengan aga garang – berada di tangga kesebelas pada perlumbaan pertama di Qatar diikuti tempat kelima di Argentina.
Bagaimanapun malang mula menimpanya pada perlumbaan pusingan ketiga hingga keenam dimana tiada sebarang mata berjaya dikutip.

Adam turut berjaya menduduki tangga ke-8 di Aragon dan ke-7 di Australia sebelum ditimpa kemalangan di Sepang yang membuatkannya tidak dapat beraski di Valencia.

Secara keseluruhan, Adam berjaya meraih 46 mata untuk mengakhiri musim terakhirnya di Kejuaraan Motosikal Dunia di tangga ke-21. Bermula musim hadapan, dia akan beraksi di Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) dalam kelas Moto2.

Bagaimanapun ini bukanlah pengakhiran Adam dalam karier perlumbaannya. Turun ke siri yang lebih rendah bukanlah bererti Adam akan terus berada di siri tersebut sebaliknya ramai yang percaya pelumba muda ini akan kembali ke Kejuaraan Dunia dalam tempoh yang terdekat.