Seminggu yang lalu, industri automatif negara menerima perkhabaran gembira dengan munculnya satu lagi jenama motor tempatan iaitu SM Sport. Dibawakan oleh syarikat tempatan, Mforce yang lebih dikenali sebagai pembekal untuk jenama-jenama antarabangsa seperti Benelli, Keeway dan SYM, kehadiran SM Sport merancakkan lagi industri permotoran negara selain memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna kenderaan dua roda berenjin ini di Malaysia.

Produk pertama SM Sport ialah SM Sport 110R. Dengan harga asas tidak termasuk GST hanyalah RM RM3,788.00, jentera tersebut disasarkan kepada pengguna dengan pendapatan rendah yang memerlukan kenderaan kedua.

BOLEH PERCAYA KE JENAMA TEMPATAN?

Itu antara sterotype masyarakat Malaysia yang sememangnya sukar untuk dihapuskan. Kepercayaan terhadap jenama tempatan masih belum ditahap yang memuaskan.

Mforce menyedari perkara ini dan mereka tidak melatah. Sebaliknya, mereka telah membentangkan asas untuk membuktikan kemampuan SM Sport setanding dengan jenama luar.

Pertama, mereka mempunyai kelebihan menerusi perkongsian kepakaran bersama rakan-rakan kongsi mereka iaitu SYM dan Qian Jiang Motorcycle – syarikat yang memiliki jenama Benelli dan Keeway.

Kedua, spesifikasi yang ada pada SM Sport 11R sendiri telah membuktikan kemampuan Mforce untuk kekal relevan dalam industri ini.

Kapasiti enjin 109 cc SOHC model ini mempunyai fungsi penyejuk udara berdasarkan piawaian asap EURO 3 yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Sehingga hari ini, sebanyak 8000 unit telah ditempah oleh para pengedar di seluruh negara, tidak termasuk dari Indonesia yang turut akan menerima model ini. Selain Indonesia, SM Sport juga mensasarkan pasaran negara Asia Tenggara yang lain.

BANTU EKONOMI NEGARA

SM Sport dipasang di kilang mereka yang terletak di Bukit Minyak, Pulau Pinang. Pengurus Besar (Operasi) Mforce Bike, Asri Ahmad berkata, pelancaran jenama baharu motosikal itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan perkembangan industri negara memandangkan alat ganti serta aksesorinya kebanyakannya merupakan buat­an tempatan.

Pada masa ini katanya, 30 peratus daripada alat ganti dan aksesori jenama itu dihasilkan dalam negara dan ia menjangka meningkatkannya kepada 60 peratus pada masa hadapan.

Untuk perancangan masa depan, SM Sport akan mengeluarkan lebih banyak moped dan juga memasuki pasaran skuter.