Connect with:




Tidak dapat dinafikan, liga bolasepak di Eropah merupakan produk yang cukup bernilai menerusi penjualan hak penyiaran di seluruh dunia. Ketika ini, Liga Perdana Inggeris menjadi pilihan serata dunia diikuti dengan empat liga lain iaitu La Liga, Bundesliga, Serie A dan Ligue 1.

Bagi pentadbir La Liga, mereka kini dalam fasa meluaskan pengaruh ke seluruh dunia termasuk rantau Asia Tenggara dalam misi menjadikan liga Sepanyol itu sebagai liga nombor satu di dunia. EPL telah berjaya menerusi pengkomersialan sehingga menerima billion tontonan setiap minggu. La Liga tidak mahu ketinggalan dan kini mereka mengejar rapat pesaing mereka itu dan percaya kualiti yang ada pada liga yang dianggap terbaik di dunia ini pasti membantu dalam merealisasikan impian tersebut.

Baru-baru ini bersempena dengan World Football Summit Asia (WSFA) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Dunia Sukan berpeluang untuk bertemu dengan tiga watak penting La Liga dalam misi ‘menjajah’ pasaran Asia. Ivan Codina (Pengarah Urusan LaLiga Bahagian Korea, Jepun, Australia & Asia Tenggara), Joris Evers (Pengarah Komunikasi LaLiga) dan Oscar Mayo (Pengarah Bahagian Perkembangan Antarabangsa LaLiga) berkongsi perancangan mereka untuk memperkukuhkan jenama LaLiga di rantau Asia. Beberapa strategi telah dirangka dalam memastikan liga mereka tidak lagi hanya ditonton ketika perlawanan El-Classico semata-mata.

Berikut 5 strategi LaLiga dalam menguasai pasaran Asia.

1) BANTU PERKASA LIGA TEMPATAN

LaLiga percaya dalam merealisasikan misi mengukuhkan jenama di Asia, mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu meningkatkan mutu bolasepak rantau ini. LaLiga telah bekerjasama dengan J-League, Thai League dan Malaysia Football League (MFL) dalam membantu perkembangan bolasepak di negara-negara tersebut menerusi perkongsian kepakaran dan pengetahuan, klinik kejurulatihan serta lawatan. Oscar Mayo memberitahu kerjasama dalam setiap liga atau negara adalah berbeza. Ini kerana setiap liga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan LaLiga hadir berkongsi kepakaran untuk membantu mereka.

2) PERUBAHAN WAKTU SEPAK MULA

Salah satu cabaran terbesar LaLiga dalam menarik tontonan ramai di Asia adalah waktu sepak mula yang tidak begitu mesra penonton. Pada hujung minggu, lebih ramai peminat bolasepak menonton EPL di kaca televsiyen kerana waktu sepak mula mereka di Asia tidak begitu lewat. Sebaliknya buat La Liga dimana penonton bersengkang mata pada jam 3 hingga 4 pagi untuk menyaksikan perlawanan. Pada tahun 2017, LaLiga membuat keputusan untuk mengawalkan sepak mula perlawanan Real Madrid-Barcelona bagi memberi ruang kepada penonton Asia menonton seawal jam 7 petang di Indonesia, 8 malam waktu China dan 5.30 petang waktu India. Langkah tersebut nyata berhasil dimana jumlah tonton meningkat berkali ganda berbanding perlawanan yang ditayangkan jam 3 pagi.

3) PENGANJURAN KARNIVAL DI NEGARA ASIA

LaLiga mengakui EPL bijak dalam mengkomersialkan liga mereka malah sebenarnya bagi tujuan promosi, kelab-kelab Inggeris bergerak sendiri dalam mengukuhkan jenama di Asia menerusi penganjuran acara eksklusif seperti LFC World Tour oleh Liverpool serta kehadiran bekas pemain seperti Wes Brown di acara bersama penyokong Manchester United. Bagi LaLiga, mereka sedar keperluan dalam menganjurkan karnival seperti ini. Usaha tersebut jelas disambut positif ketika mereka menganjurkan Karnival Elclassico di Jakarta yang dihadiri ribuan penyokong fanatik kedua-dua pasukan di Indonesia.

4) AKSES STREAMING LEBIH MUDAH

LaLiga sangat menitikberat kemudahan streaming bagi memudahkan penonton menonton siaran langsung. Jika tidak, masakan mereka membawa masuk Joris Evers – orang kuat rangkaian Netflix di Eropah ke dalam pasukan pengurusan mereka. Evers memberitahu di Asia Selatan seperti India dan Bangladesh, mereka menyediakan streaming percuma perlawanan LaLiga di laman facebook. Baru-baru ini, mereka juga mengumumkan penonton di seluruh dunia boleh menyaksikan siaran langsung liga divisyen dua Sepanyol – Segunda Division di youtube. Di samping itu, LaLiga juga telah melancarkan LaLiga TV yang turut memaparkan sukan lain seperti bola keranjang untuk menarik lebih ramai peminat baharu.

5) PROMOSI SEMUA PERLAWANAN, BUKAN SEKADAR EL-CLASSICO

Bila bercakap mengenai LaLiga, pastinya terlintas dengan pengaruh besar dua kelab terkemuka – Real Madrid dan Barcelona. Populariti dua pasukan ini menenggelamkan pasukan-pasukan lain dalam LaLiga. Berbeza sekali dengan EPL dimana peminat di Asia mengenali siapa pengendali Southampton, siapa penjaga gol Watford, siapa penyerang Wolverhampton dan sebagainya. Ini yang ingin dibaawa LaLiga. Ketika ini cabaran besar adalah penyiar di Asia lebih mengutamakan perlawanan kelab-kelab besar. Justeru mereka meminta media di rantau Asia untuk sama-sama menulis mengenai kehebatan pasukan lain. Memeranjatkan apabila baru-baru ini, artikel yang ditulis oleh sebuah akhbar Indonesia mengenai kelab pertengahan seperti Celta Vigo, Alaves dan Girona berjaya mendapat perhatian pembaca. Ini sekaligus memberi harapan kepada LaLiga dimana sememangnya ada minat dari peminat Asia untuk mengetahui lebih lanjut kelab-kelab bertanding selain dari gergasi-gergasi Sepanyol.

Berdasarkan dari langkah-langkah yang disebut, jelas sekali LaLiga begitu serius untuk memecah dominasi EPL di rantau Asia. Mereka sedar pasaran Asia begitu besar potensi yang dimiliki dan mereka terlewat berbanding EPL yang telah meletakkan tapak di rantau ini terlebih dahulu namun mereka percaya lebih baik terlambat dari terus tidak mencuba. Dengan kualiti yang ada pada bolasepak Sepanyol dan LaLiga, usaha mereka pasti akan membuahkan hasil.