Bina Darulaman Berhad (BDB) merupakan syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan hartanah, pembinaan, kerja-kerja jalan, kuari, perkhidmatan perundingan pengurusan harta, pegangan pelaburan dan pelancongan.

Penglibatan syarikat ini dalam sukan mula disedari ramai selepas menjadi penaja utama pasukan Kedah dalam Liga Malaysia. Bagaimanapun ia tidak terhenti setakat itu. BDB menerusinya Pengarah Urusan mereka, Dato’ Izham Yusoff tampil dengan satu pendekatan baharu dalam penglibatan acara sukan.

Bermula tahun lalu, BDB telah melancarkan siri BDB Triple Challenge yang menggabungkan 3 acara sukan berbeza. Kejayaan penganjuran tahun lalu seterusnya diteruskan ke tahun 2017 dengan beberapa perubahan bagi memberi sedikit kelainan berbanding acara tahun lalu.

BDB Triple Challenge 2017 dimulakan dengan acara BDB Climb & Run yang telah pun berlangsung Sabtu lalu di Pulau Langkawi. Bertempat di Tangga Helang Seribu Kenangan, Hutan Simpan Lubok Semilang, seramai 482 orang peserta telah mengambil bahagian Рpenambahan hampir seratus peserta berbanding tahun lalu.

Acara sukan lasak itu memerlukan peserta menempuh halangan 4,827 anak tangga bagi pendakian, sebelum berlari sejauh 16.6km dengan jarak keseluruhan 20.5km.


APA YANG MENARIK TENTANG BDB CLIMB & RUN?

Umum mengetahui Langkawi dikenali dengan pelbagai produk pelancongan mereka. Antara yang popular pastinya Gunung Matchincang yang menempatkan kereta kabel untuk melihat pemandangan di puncak gunung tersebut. Namun ramai kurang menyedari akan kewujudan satu lagi gunung di pulau lagenda tersebut iaitu Gunung Raya.

Gunung Raya merupakan gunung tertinggi di Langkawi. Untuk ke puncak gunung tersebut, terdapat dua cara untuk melakukannya. Pertama, menerusi pengangkutan darat sama ada kereta, van atau basikal yang dihubungkan dengan jalan raya. Kedua, menerusi laluan trekking Tangga Helang Seribu Batu. Ini adalah satu produk pelancongan yang mungkin dipandang sepi namun BDB menyedari akan potensi yang ada lantas menganjurkan acara sukan disini bagi menunjukkan kepada orang ramai betapa laluan trekking tersebut menawarkan satu pengalaman berbeza buat para pelancong.

Dari kiri – Azlinawati Husain, Melissa Lim Yi Xin, Affindi Nudin dan K. Devandran.

Hal ini diakui sendiri oleh Mohamad Affindi Nudin, pemenang kategori lelaki terbuka.

“Saya boleh katakan acara ini adalah acara sukan lasak yang lebih menarik serta mencabar berbanding acara-acara lain yang pernah saya sertai.

Affindi menyertai 3 lagi peserta yang menjuarai kategori masing-masing. Mereka ialah Melissa Lim Yi Xin (wanita terbuka), K. Devandran (lelaki veteran) serta Azlinawati Husain (wanita veteran). Kesemua mereka membawa pulang masing-masing RM 1500 hadiah wang tunai.

Menariknya menerus pendakian anak tangga di Tangga Helang Seribu Kenangan ini yang merangkumi jarak sejauh 3.9km ini adalah para peserta berpeluang melihat sendiri habitat bagi 160 jenis herba, 80 fauna, 73 jenis burung dan 169 spesies rama-rama. Peserta kemudian akan sampai ke puncak Gunung Raya untuk melihat sendiri panorama 360 darjah Pulau Langkawi dari puncak tertinggi pulau tersebut. Cabaran mereka tidak terhenti setakat itu dimana peserta kemudiannya perlu menuruni jalan raya berbukit sejauh 16km sebelum melintasi garisan penamat.

DUA LAGI ACARA AKAN MENYUSUL

Bagi Datuk Izham yang turut sama menyertai acara ini, beliau nyata berpuashati dengan kelancaran program yang berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Acara ini adalah sebahagian dari usaha BDB untuk memperkenalkan produk pelancongan negeri Kedah menerusi platform pelancongan sukan. Kedah memiliki banyak tempat-tempat menarik untuk aktiviti pelancongan sukan.

“Kita akan ada dua lagi acara iaitu BDB Extreme Jitra dan juga BDB Rafting Kulim yang menawarkan acara berkayak lasak di Sungai Sedim” jelas beliau lagi.

BDB Extreme Jitra akan diadakan pada 23 September di Tasik Darulaman sementara BDB Rafting Kulim akan menutup tirai siri acara lasak BDB ini pada 18 November. Kepada yang berminat, anda boleh membuat pendaftaran secara online di laman sesawang www.bdbtriplechallenge.my