Connect with:




Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan meminta pihak pengurusan memberikan beliau sedikit masa sekurang-kurangnya 10 perlawanan perlawanan Liga Super sebelum menilai prestasinya dan memutuskan masa depanya bersama skuad Gergasi Merah.

Menurut Sathianathan pemainnya telah menunjukkan persefahaman yang positif terhadap falsafah bola sepak yang ingin diterapkan olehnya selepas berjaya mengikat Pahang 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Saya amat berbangga dengan prestasi pemain saya apabila dilihat mereka sudah mula mendapat rentak meskipun bermain di bawah tekanan hebat ekoran keputusan negatif sebelum ini.

“Kami berjaya mengharungi perlawanan tanpa dua pemain import, Taylor Regan dan Sandro serta Khyril Muhymeen yang belum cergas sepenuhnya.

“Saya yakin Selangor masih berada di landasan yang tepat tetapi kami memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 perlawanan sebelum dapat melihat hala tuju sebenar,” katanya dalam laporan Kosmo.

Selain itu, Sathianathan mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dengan keputusan tersebut kerana mereka bakal berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada Jumaat depan.

“Pasukan akan terus menghadapi tekanan selagi tidak meraih kemenangan pertama termasuklah saya. Saya berharap pemain dapat memberikan prestasi yang terbaik dan bekerja keras ketika bertemu JDT selepas ini.

“Kemungkinan bakal ada rombakan dalam kesebelasan utama tetapi bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan pemain ketika sesi latihan,” katanya.

Foto : FA Selangor