Connect with:




Mohd Azroy Hazal Wafie berjaya meraih pingat emas pertama untuk skuad negara pada hari pertama dalam acara angkat berat Sukan Komanwel Gold Coast sebentar tadi.

Meskipun beraksi kali pertama dalam sukan berprestij ini, ia tidak menghalang Azroy untuk mempamerkan aksi terbaik beliau dalam acara snatch kategori 56kg. Lebih manis kejayaan ini berjaya memadam rekod lama milik Amirul Hamizan Ibrahim pada 2010 di New Delhi, India.

Azroy juga berjaya memadam rekod kejohanan 260kg milik seorang lagi atlet neagra, Amirul Hamizan Ibrahim, pada 2002 di Sukan Komanwel Manchester, England apabila beliau melakukan angkatan seberat 261kg dalam acara clean & jack.

Kemenangan ini juga cukup bermakna kepada beliau apabila ia hadir di saaat Azroy menyambut ulang tahun ke-24 beliau pada hari ini.

Kemenangan ini juga membolehkan Azroy menerima ganjaran sebanyak RM 80, 000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN). Setiap atlet yang berjaya meraih emas akan menerima ganjaran sebanyak itu dan ini sudah tentu satu suntikan semangat kepada semua atlet yang bertanding.

Pingat perak pula dimenangi atlet dari India, Gururaja apabila melakukan angkatan 249kg manakala pingat gangsa pula menjadi milik atlet dari Sri Lanka, Chaturanga Lakmal dengan angkatan 248kg.

Foto Kredit : Majlis Sukan Negara Malaysia