“Teruja dengan kejayaan pasukan layak ke final Piala Malaysia 2011 walaupun kami mengalami musim yang agak suram di Liga Super sebelum ini.”

Begitulah gambaran ringkas Mohd Azrai Khor Abdullah, jurulatih Negeri Sembilan mengenai perasaannya ketika ini setelah menyaksikan anak buahnya layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2011.

Azraai Khor juga meluahkan rasa syukur kerana segala penat lelah semua pihak terutamanya para pemain akhirnya berbaloi.

“Secara peribadi, ini adalah final yang keempat buat saya dalam Piala Malaysia,” tambahnya lagi.

Berdasarkan rekod, Azraai Khor pernah membawa Kedah ke tiga final Piala Malaysia sebelum ini iaitu pada tahun 2004, 2007 dan 2008. Ini adalah yang keempat untuk beliau dan yang ketiga berturut-turut buat pasukannya, Negeri Sembilan.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tempohari, Negeri Sembilan menewaskan T-Team dengan keputusan 2-1 seterusnya layak ke pentas akhir dengan agregat besar 6-3.

Ketika diminta mengulas mengenai aksi penyerangnya ketika perlawanan separuh akhir kedua di Paroi tempohari, beliau mengakui bahawa aksi mereka agak tumpul. Walaupun Negeri Sembilan dilihat menguasai perlawanan namun kerap mensia-siakan peluang yang terhidang di depan gol.

Shahurain Abu Samah dan Shukor Adan akhirnya menjaringkan gol buat skuad Hoben Jang Hoben setelah mereka ketinggalan satu gol kepada T-Team yang dipaksa beraksi dengan 10 orang pemain hampir 30 minit akibat layangan kad merah.

“Biasalah, pasukan lawan akan kawal pemain-pemain kita yang boleh menjaringkan gol,”

“Mungkin juga tekanan dirasai pemain kerana beraksi di laman sendiri.  Harapan tinggi penyokong yang hadir pun turut sama memberikan tekanan,” tambahnya lagi.

Tempoh rehat seminggu menjelang perlawanan akhir Sabtu ini akan digunakan sepenuhnya oleh Azraai Khor dan pasukan untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti.

Sepanjang tahun ini, Negeri Sembilan sudah empat kali bertemu Terengganu iaitu dua ketika di saingan Liga Super dan bakinya semasa saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011.

Dalam aksi Kumpulan B Piala Malaysia sebelum ini, Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan 1-0 di Paroi hasil jaringan Shahurain Abu Samah dan seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.