Dua bekas pemain kebangsaan berpendapat Malaysia tetap menampilkan peningkatan walaupun tewas kepada Qatar 0-2 pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, Khamis lepas.

Bekas kapten

Bekas kapten skuad kebangsaan, Tengku Hazman berkata pemain Malaysia perlu tingkatkan kualiti permainan

 

Tengku Hazman Raja Hassan yang pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan berkata berdasarkan pengamatannya pada perlawanan tersebut, kualiti individu yang dimiliki Qatar sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pemain-pemain negara.

“Standard kita masih lagi belum mencapai tahap yang ditunjukkan Qatar namun secara keseluruhan persembahan Harimau Malaya tidaklah begitu mengecewakan.

“Mungkin mereka perlu tingkatkan keyakinan diri lagi selepas ini apabila melawan pasukan-pasukan yang lebih kuat seperti Qatar ini” kata Hazman yang mewakili Malaysia sekitar tahun 1998 hingga 2005.

Turut memberi pandangan ialah bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan yang mengakui kualiti yang ditunjukkan anak buah Datuk K.Rajagobal semakin baik.

Skuad kebangsaan miliki kualiti - Azman Adnan

Skuad kebangsaan miliki kualiti – Azman Adnan

 

“Memang tahap permainan Qatar berbeza dengan pasukan kita tetapi saya rasa dari segi semangat juang yang ditunjukkan para pemain, kita perlu berbangga dengan apa yang telah ditunjukkan mereka.

Azman turut diminta mengulas mengenai isu kepulangan Nazmi Faiz dari Portugal ke Malaysia untuk bermain bersama PKNS FC.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain muda, pergi lah bermain di luar negara. Jangan lepaskan peluang untuk mengembangkan bakat ini.

“Agak rugi jika bakat yang ada dipersia-siakan. Contohi Hidetoshi Nakata; bagaimana dia meluaskan kariernya di Eropah dan sehinggalah dianggap ikon kepada bolasepak Jepun kerana menjadi pembuka ruang kepada pemain-pemain Jepun untuk bermain di Eropah” kata Azman lagi.

Azman dan Tengku Hazman ditemui pada perlawanan amal antara bekas pemain Selangor menentang bekas pemain Kelantan di Stadium MBPJ, semalam. Dalam perlawanan tersebut, bekas pemain Kelantan menang 2-1 hasil jaringan Mohd Nor Yaakob dan Zami Mohd Nor sementara gol Selangor dijaringkan menerusi sepakan penalti Asmawi Bakiri.