Connect with:




Azlan Shah Kamaruzaman mempamerkan aksi positif apabila mencatat masa kedua terpantas dalam kategori Asia Superbike 1000cc (ASB1000) pada aksi hari pertama ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing Team itu mencatat masa terpantas 2’07.537s dibelakang Broc Parkes (YAMAHA Racing Team ASEAN) yang muncul pelumba tunggal di bawah catatan 2’07s dengan masa 2’06.937s.

Pelumba KAWASAKI Thailand Racing Team, Thitipong Warokorn muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 2’07.825s manakala dua lagi pelumba Malaysia, Airul Hafiq Azmi dan Md Zaqhwan Zaidi masing-masing mempunyai catatan terbaik 2’09.040s dan 2’09.251s.

“Saya memang letakkan sasaran untuk berada dalam kelompok pelumba terpantas pada sesi ujian pra-musim ini dan saya juga berpuas hati terutama dengan keadaan jentera yang lebih baik berbanding ketika sesi ujian tayar selepas pusingan terakhir ARRC musim lepas di Buriram,” jelas Azlan.

Tambahnya, “ Ini adalah tanda positif buat kami. Hari esok saya akan mencuba beberapa perubahan dan akan lebih memahami ciri-ciri elektronik yang ada pada jentera BMW S1000 RR selain akan menggunakan tayar dari jenis ‘hard’ pula.

“Peranan tayar sangat penting dalam perlumbaan 1000cc ini dan ia agak berbeza berbanding dengan jentera 600cc sebelum ini,” jelas juara SuperSports 600cc 2013 dan 2017 itu.

Seramai 13 pelumba terbaik seluruh Asia secara rasminya turun beraksi dalam kategori yang mula dipertandingkan pada tahun ini.

Sementara itu, juara Underbone 150cc 2017, Md Helmi Azman (Musashi Boon Siew HONDA Racing) yang beralih ke kelas SuperSports 600cc pada musim ini turut mempamer aksi meyakinkan apabila berjaya mencatat masa kedua terpantas, 2’12.189s yang dilakukan dalam sesi latihan pertama manakala rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar di kedudukan keempat dengan masa terbaik 2’12.770s.

Peerapong Boonlert (YAMAHA Thailand Racing Team) muncul pelumba terpantas dengan masa 2’11.900s manakala Andi Farid Izdihar (Astra HONDA Racing) ketiga terpantas dengan masa 2’12.476s.