Beberapa tahun kebelakangan ini Asia Tenggara menjadi tempat melahirkan ramai pengikut e-sukan bertaraf professional malah Malaysia sendiri kini berada di tempat ke-21 dunia sebagai negara yang mempunyai ramai pengikut e-sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penganjuran kejohanan seperti “The Kuala Lumpur Major” ini mendapat sokongan sepenuhnya dari Kementerian Belia Sukan (KBS).
“Penganjuran kejohanan seperti ini sememangnya amat digalakkan pihak KBS kerana saya rasa negara kita sudah mempunyai ramai pengikut e-sukan.
“Ini boleh dijadikan platform buat mereka untuk menunjukkan bakat dan secara tidak langsung mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan e-sukan adalah perkara yang membuang masa semata”.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian “The Kuala Lumpur Major” yang berlangsung petang tadi di Rouge Club, Kuala Lumpur.
Selain itu Syed Saddiq turut menyeru pengikut e-sukan seluruh negara untuk turut hadir memeriahkan kejohanan terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia.
“Saya sangat percaya bahawa e-sukan bukanlah sekadar permainan video sahaja ini kerana jika kita lihat di eropah, bagaimana anak muda di sana diberi satu platform untuk menunjukkan bakat mereka dan menjadikan e-sukan sebagai kerjaya.
“Jika melihat kepada pengikut e-sukan di negara kita, saya rasa tidak mustahil di masa hadapan Malaysia bakal menjadi antara negara yang melahirkan ramai pemain e-sukan bertaraf professional”, katanya.
Kejohanan “The Kuala Lumpur Major” yang akan bermula 9 sehingga 18 November 2018 ini menawarkan $1,000,000 buat 16 pasukan yang bertanding.