Bagaimanakah percaturan jurulatih Ong Kim Swee kali ini? Kehadiran beberapa pemain yang beraksi cemerlang dalam musim baru Liga Malaysia pasti menambah kekuatan sediaada skuadnya yang bakal turun menentang Bahrain dalam aksi keempat Kumpulan C, Kelayakan Olimpik London 2012, 5 Februari ini di Stadium Nasional Bahrain, Manama.

Episod duka tewas 2-3 kepada lawan yang sama November lalu dalam 10 minit menuju penamat walaupun selesa mendahului perlawanan dengan dua gol perlu dilupakan para pemain. Perlawanan Ahad ini amat penting dalam menentukan hidup mati Malaysia, wakil tunggal dari Asia Tenggara yang masih bersaing dalam Kelayakan Olimpik.

“Memang ia pengalaman yang mengecewakan tapi saya akan gunakan kekecewaan itu untuk melakukan provokasi kepada pemain sebelum perlawanan untuk mencetus rasa semangat dalam diri mereka,” ujar Kim Swee yang jelas belum mahu mengaku kalah untuk mencari kemenangan sulung dalam kempen kelayakan kali ini.

Penyerang berbakat, Ahmad Shakir Ali dilihat bakal menjadi taruhan utama Kim Swee di bahagian serangan kerana aksi berkesannya bersama Negeri Sembilan dalam saingan awal Liga Super 2012. Merekodkan tiga gol dalam lima perlawanan, Shakir mungkin adalah jawapan untuk jentera serangan yang gagal berfungsi kebelakangan ini.

“Saya sedar pasukan ini memerlukan seorang penyerang ekoran ketiadaan Izzaq Faris yang cedera dan saya berjanji untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan jurulatih,” komen Shakir yang pernah digugurkan akibat prestasi hambarnya dalam liga musim lalu.

Mohd Azrif Nasrulhaq, 21, pula antara bakat muda yang mencuri tumpuan sejak musim lepas lagi setelah menjaringkan sembilan gol liga ketika membantu kelabnya, PKNS FC menjuarai Liga Perdana. Walaupun kerap dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad Olimpik kebelakangan ini, namun namanya sering tersisih dari skuad akhir.

Aksinya mungkin sedikit tenggelam dari pandangan umum sebelum ini disamping terpaksa bersaing dengan beberapa pemain utama Harimau Muda A yang lain. Kehadirannya dalam skuad ini kali ini dilihat mungkin akan menambah pilihan dan sengat jentera serangan kerana kebolehannya menjana serangan dari sayap kanan atau kiri serta mampu menjadi peledak gol.

Kim Swee menggugurkan empat pemainnya sebelum berangkat semalam iaitu Mohd Shahril Shaari, Mohd Syazwan Tajuddin, Syahrul Azwari Ibrahim dan Izuan Solahuddin. Selain itu, pertahanan kental, Mohd Fadhli Shas dan penyerang, A. Thamil Arasu awal-awal lagi terpaksa dikecualikan dari skuad kerana menjalani penggantungan setelah mengumpul dua kuning dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Dalam aksi pemanas badan menentang pasukan Liga Super, Selangor, Kim Swee dilihat meletakkan Shakir Ali berseorangan di depan dengan dibantu bintang dalam pembikinan, Nazmi Faiz Mansor yang bergerak dibelakangnya, berbeza dengan peranan asalnya iaitu lebih bertahan di posisi tengah bertahan yang malam itu diserahkan kepada Gurusamy.

Walaupun diikat tanpa jaringan, namun menurut Kim Swee, objektif utamanya dalam perlawanan tersebut adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain Harimau Muda yang sudah hampir sebulan tidak beraksi selepas pulang dari kem di Australia.

Dengan beberapa pemain baru pulih dari kecederaan antaranya Irfan Fazail, Gary Steven Robbat dan Wan Zaharulnizam, menarik untuk dilihat corak dan percaturan yang akan diketengahkan Kim Swee hujung minggu ini. Dalam pada itu, Isnin lalu, Bahrain tewas 1-3 kepada UAE di laman sendiri dalam persiapan mereka untuk menentang Malaysia.