KUALA LUMPUR -Acara renang dan terjun menjadi sandaran utama Malaysia meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-16 di Laos yang akan berlangsung selama sembilan hari, bermula 12 Dis ini.

Ketua kontinjen Malaysia ke AUG, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata selain dua
acara berkenaan, olahraga dan memanah juga diharap dapat menyumbang pingat emas kepada negara pada temasya tersebut.

“Kita menyasarkan meraih 36 pingat emas pada edisi kali ini,” katanya di
sini. Yahaya berkata bagi acara renang, Malaysia yakin dapat meraih
sekurang-kurangnya 11 pingat emas dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Pada AUG 2012, Malaysia menyenaraikan perenang kebangsaan iaitu Kevin Yeap dan Chui Lai Kwan dalam acara renang yang menawarkan 40 pingat emas iaitu masing-masing 20 acara bagi lelaki dan wanita.

Selain itu, ratu terjun negara dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London, Pandelela Rinong Pamg dan Bryan Nickson Lomas turut beraksi pada AUG dalam acara terjun, selain Fatin Nur Fatihah Mat Salleh bagi acara memanah.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Kontinjen Malaysia ke AUG, Nur Ekmal
Buhary berkata dengan menyenarai beberapa atlet kebangsaan, kontinjen negara
optimis untuk mencapai sasaran tersebut.

Beliau berkata kontinjen negara akan berkampung di Universiti Putra Malaysia
(UPM) mulai esok untuk latihan pusat fasa akhir sebelum berlepas ke Laos secara
berperingkat, mulai 7 Dis.

Pada AUG 2010 di Chiang Mai, Thailand, kontinjen Malaysia menduduki tempat
ketiga selepas meraih 37 pingat emas, 36 perak dan 44 gangsa – BERNAMA.