Aksi perlawanan kedua Liga Perdana semalam menyaksikan tumpuan sekali lagi tertumpu kepada Angkatan Tentera Malaysia apabila mencatat kemenangan besar dan kredit pastinya buat penyerang import sensasi mereka, Marlon Alex James.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bangkit di separuh masa kedua selepas terikat tanpa jaringan di babak pertama untuk membenam cabaran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) dengan keputusan 5-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor Bahru.

Marlon mempamerkan sentuhan golnya dengan menjaringkan empat gol masing-masing pada minit ke 62, 71, 72 dan 87. Sebelum itu,  penyerang skuad kebangsaan, Mohd Zaquan Adha membuka dahulu jaringan buat skuad B. Sathianathan ini seawal babak kedua bermula.

Pahang pula mudah menundukkan barisan anak muda negara, Harimau Muda B dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Anak didik Dollah Salleh mula menemui sentuhan pada minit ke 59 melalui gol penyerang importnya, Nana Yaw.

Pada minit ke 62, giliran pemain tengah, R. Gopichandran menjaringkan gol dan diikuti jaringan oleh penyerang, Mohd Azamuddin Akil pada minit ke 79. Harimau Muda terus tenggelam dengan jaringan keempat Pahang oleh Abdul Malek Mat Arif sejurus sebelum perlawanan ditamatkan.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, PDRM berjaya menumpaskan Universiti Sains Malaysia (USM FC) dengan keputusan 2-0 untuk mengutip tiga mata penuh. Gol-gol PDRM dijaringkan pada  minit ke 10 dan 77.

Majlis Perbandaran Muar (MP Muar FC) dikejutkan dengan kekalahan besar 0-4 kepada Pos Malaysia di Stadium MP Selayang, Selayang.  Pos Malaysia memperolehi gol melalui jaringan pemain tengah, S. Sumindran pada minit ke 7,  G. Puaneswaran (52’, 83’) dan penyerang Mohd Fakhrul Aiman pada minit ke 86.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis gagal mengambil kesempatan walaupun Sime Darby FC kehilangan pemain akibat dilayangkan kad merah ketika perlawanan berbaki 15 minit untuk ditamatkan. Sime Darby mendahului dua gol pada babak pertama menerusi  Patrick  Ronaldinho Wleh (5’) dan Mohd Irme Mat (40’) sebelum Perlis merapatkan jurang pada minit ke 56.

Juara Piala FAM 2011, Betaria FC memperolehi mata pertama liga apabila diikat Johor dengan keputusan 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Betaria FC mendahului pada minit ke 60’ dan Johor hanya memerlukan empat minit untuk mengikat semula kedudukan.

ATM mengambil alih kedudukan teratas liga daripada MP Muar FC dengan mengumpul enam mata bersama Pahang dan Sime Darby FC, dengan ATM memiliki sedikit kelebihan menerusi perbezaan gol.

Dalam pada itu, satu aksi Liga Super turut berlangsung semalam menyaksikan Kelantan diikat juara Liga Perdana musim lalu, PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dengan keputusan 1-1.

Skuad bimbingan Peter Butler mengambil masa yang lama untuk merobohkan kubu kental PKNS FC iaitu menerusi jaringan kapten, MohdBadri Radzi pada minit ke 71 berpunca dari sepakan penjuru dari Norshahrul Idlan Talaha yang gagal ditangkap kemas penjaga gol.

Namun, berpunca daripada kesilapan penjaga gol Kelantan, Syazwan, yang melakukan terjahan dalam kotak penalti sembilan minit kemudian, PKNS FC kembali mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Fauzan Dzulkifli.