Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali ke takhta Liga Perdana dengan 15 mata dari enam perlawanan, dua mata mengatasi Pahang yang berada di kedudukan kedua. PDRM dan Sime Darby FC pula berkongsi 12 mata di kedudukan ketiga dan keempat liga dengan PDRM mengatasi Sime Darby menerusi perbezaan gol.

Sime Darby FC mengekalkan rekod baik di gelanggang sendiri ketika melayan kunjungan Universiti Sains Malaysia (USM FC) di Stadium MP Selayang dengan meraih mata penuh. Sime Darby menang 4-1 ke atas pelawat.

Sime Darby mendahului perlawanan seawal minit ke-4 menerusi penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh. Mohd Zamri Hassan menambah jaringan buat Sime Darby pada minit ke-35 sebelum USM FC merapatkan jurang jaringan menerusi gol pemain import baru mereka, Edrisar Kaye pada minit ke-57.

Gol pihak lawan tersebut tidak menyekat kemaraan anak-anak buah Ismail Zakaria apabila menambah dua lagi gol, sekali lagi menerusi Patrick Ronaldinho Wleh (64’) dan pemain tengah, Mohd Shoufiq Kusaini di penghujung perlawanan.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Harimau Muda B bangkit untuk mengikat pasukan pelawat, Majlis Perbandaran Muar (MP Muar FC) dengan keputusan seri 2-2. Pelawat mendahului perlawanan dengan dua gol hasil jaringan Mohd Ezaidy Khadar (21’) dan Khairul Anwar Shaharudin (31’). Dua gol Harimau Muda B diperolehi di babak kedua perlawanan selepas seorang pemain MP Muar diarah keluar padang akibat layangan kad kuning kedua.

Sementara itu, Pos Malaysia mencatatkan kemenangan pertama di gelanggang lawan apabila menundukkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar. Gol-gol pelawat dijaringkan Hanifuddin Abdul Rahman pada minit ke-38, Mohd Fakhrul Aiman (43’) dan Mohd Hafizi Amiruddin (75’). Dengan keputusan itu, MBJB FC masih gagal memperoleh kemenangan dalam enam aksi setakat ini.

PDRM satu-satunya pasukan yang belum tewas selepas enam aksi apabila terikat 1-1 dengan NS Betaria di Stadium Hang Tuah, Melaka. NS Betaria terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-68 menerusi gol Mohd Afiq Akmal Zunaidi . Walaubagaimanapun, Amri Fazal Mamat muncul penyelamat PDRM apabila menjaringkan gol penyamaan seminit sebelum perlawanan tamat.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertandang jauh ke Stadium Utama Negeri, Kangar, membawa pulang tiga mata penuh apabila mudah menjinakkan Perlis dengan keputusan 4-0. Turun tanpa penjaring terbanyak liga ketika ini iaitu Marlon Alex James, giliran Hairuddin Omar mencuri tumpuan dengan jaringan hatriknya minit ke-45, 72 dan 90. Satu lagi gol ATM adalah menerusi jaringan Zaquan Adha pada minit ke-32.