Connect with:




Berbaki dua perlawanan liga, pemburuan kejuaraan Sepak Takraw League (STL Premier) 2018 kian rancak serta dilihat satu pengakhiran yang dramatik bakal disajikan berbaki dua perlawanan terakhir minggu hadapan apabila ATM Guardians berjaya meraih kemenangan ke atas Kelantan Warriors semalam.

Kejayaan menundukkan Kelantan Warriors dengan straight set 2-0 di Gem In Mall, Cyberjaya itu merupakan kemenangan ke-13 buat ATM Guardians musim ini serta membolehkan skuad bimbingan Aswadi Abdullah itu ke minggu terakhir saingan berbekalkan kelebihan kecil ke atas juara bertahan, Penang Black Panthers.

ATM Guardians yang kini mengumpul 26 mata kembali melonjak ke persada liga mengatasi Penang Black Panther yang turut mengumpul 26 mata namun dipisahkan dengan beza set menang.

Jika mahu dimahkotakan sebagai juara STL Premier musim ini, ATM Guardians harus memastikan mereka menang straight set semua kedua-dua baki aksi musim ini iaitu bertemu Selangor Pistons pada 23 November dan menanti mereka di perlawanan terakhir pada 24 November adalah KL Thunder.

Pengendali ATM Guardians, Aswadi Abdullah berkata masanya belum tiba buat pasukan bimbingannya itu terbuai lena namun tetap menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya.

“Syukur kerana kami berjaya menepati sasaran kami untuk memenangi secara bersih baki beberapa perlawanan yang ada setakat ini dan saya harap ianya berterusan di baki dua perlawanan terakhir.

“Semua pemain memahami dan melakukan tanggungjawap masing-masing dengan cukup baik sekali dan kami kini berada pada landasan yang betul dan saya berdoa agar kami tidak hilang fokus dalam dua baki aksi pada minggu terakhir yang pastinya berliku,” katanya.

Turun dengan misi wajib menang straight set bagi terus memberi tekanan kepada Penang Black Panthers, ATM Guardians yang dibarisi Hairul Hazizi Haidzir, Norfaizzul Razak dan Khairudin Adenan dilihat tidak mempunyai banyak kerja apabila gandingan Kelantan Warriors, Farid Aziz, Wan Naim Izani dan Aidil Aiman Azwawi yang dijangka bakal memberi tentangan hebat terkulai dengan keputusan 21-10, 21-16.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Kelantan Warriors sengaja memberi laluan mudah keatas pasukannya, beliau secara berseloroh memberitahu perkara itu mungkin benar namun dalam nada serius beliau menegaskan bahawa Kelantan Warriors telah memberikan yang terbaik namun nasib tidak bersama mereka.

“Mungkin ada betulnya juga tanggapan itu (Kelantan Warriors beri laluan mudah) namun saya berpendapat mereka telah memberi tentangan yang baik. Bukan kemenangan mudah yang kami raih hari ini (semalam), cuma mungkin kerana apit kiri (Aiman) mereka kepenatan kerana baru tiba.

“Jadi bagi saya mereka tidak dapat mempersembahkan kualiti permainan sebenar sementara pemain saya pula kurangkan kesilapan dan menghukum kesilapan mereka, cuma itu perbezaannya,” jelas jurulatih kelahiran Kelantan itu.

Foto : Facebook Sepak Takraw League (STL)