Connect with:




Pasukan Sepak Takraw Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi mewakili negara dalam 1st Asian Beach Sepak Takraw Championship The West Coast New Area of Qingdao 2019.

Kejohanan tersebut telah diadakan di Qingdao, China pada 7-12 Julai 2019. Dalam kejohanan tersebut, pasukan negara telah berjaya merangkul 1 pingat gangsa dalam acara Antara Regu.

Kejohanan tersebut telah disertai oleh 12 pasukan Sepak Takraw seperti Thailand, Indonesia, China, Vietnam, Iraq dan beberapa lagi pasukan Sepak Takraw di benua asia.

Menurut Pengurus Pasukan Malaysia, Mohamad Razizi Midin, kejayaan meraih sekurang-kurangnya satu gangsa ini membuktikan skuad negara mampu bersaing dengan negara asia yang lain walaupun persiapan penyertaan kejohanan diadakan dalam masa yang singkat dan terhad.

Selain itu, beliau juga menzahirkan penghargaan buat PSM yang telah memberi kepercayaan penuh kepada UPM untuk mewakili negara dalam kejohanan Sepak Takraw Pantai yang julung kali diadakan di peringkat asia.

Pasukan Malaysia telah diketuai oleh Mohamad Razizi Midin sebagai Pengurus Pasukan dan Ahmad Sufi Mohamed Hashim sebagai ketua jurulatiha pasukan. Manakala, atlet-atlet pula telah dibarisi oleh atlet Sepak Takraw elit UPM iaitu, Muhammad Suhairi Sulaiman, Muhammad Anuar Saadon, Mustaqim Zainordin, Muhammad Danial Baharin, Wan Muhammad Anas Muhaimin dan Amir Aizad Mohd Roshanizam.