Atlet lompat galah Greece, Kostas Filippidis menyaman pemilik Stadium Olimpik Athens sebanyak 530,000 Euro (RM2.68 juta) ekoran mengalami kecederaan ketika berlatih.

Menurut peguamnya Vassilis Chirdaris, permukaan stadium yang berlubang menyebabkan atlet tersebut mengalami kecederaan yang serius.

Pemenang pingat emas Kejohanan Tertutup Dunia 2014 yang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan pada 19 Jun dan meminta pampasan menerusi tuntutan mahkamah yang difailkan di sebuah mahkamah dekat Athens.

“Kecederaan serius itu menyebabkan dia meninggalkan stadium ketika masa yang penting menyebabkan dia kehilangan tiga kejohanan antarabangsa tertinggi,” katanya.

Dalam tuntutan berkenaan, Filippidis mendakwa dia dan jurulatih, Dimitris Kyteas memberi amaran berulang kali kepada kakitangan stadium mengenai lubang di sekitar kawasan latihan lompat bergalah, namun ia tidak diselenggara.

Stadium Olimpik Athens adalah milik kerajaan Greece yang juga penganjur Sukan Olimpik Athens 2004. -AFP