Satu kejadian langgar lari telah berlaku di Lebuh Raya Kuala Selangor (LATAR) membabitkan lima pelumba paralimpik kebangsaan.

Menurut laporan dari Berita Harian, dua daripadanya mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan patah kaki akibat rempuhan sebuah pacuan empat roda berhampiran susur keluar Batu Arang.

Kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 11 pagi ketika tujuh pelumba berkenaan menjalani latihan dari Kuala Selangor dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi, dua basikal tandem berkenaan serta jurulatih berada di depan tiga lagi pelumba dan sebuah van pengiring apabila dipercayai dirempuh sebuah pacuan empat roda yang kemudiannya melarikan diri.

Antara pelumba yang terlibat adalah Mohd Nor Rizuan Zainal, Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Nur Syafiq Suhaimy dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali.

Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

Foto Kredit: Ketua Jurulatih Berbasikal Paralimpik Malaysia, Johari Nayan