Connect with:




Memasuki hari kelima temasya Sukan Para Asia 2018 di Indonesia semalam, kontinjen para negara dilihat masih rancak mengejar sasaran 15 pingat emas apabila meraih dua lagi pingat emas.

Selain itu, kem negara turut berjaya meraih tujuh pingat perak berserta lima gangsa menjadikan jumlah keseluruhan pingat kem negara adalah sembilan emas, 15 perak dan 17 gangsa setakat hari ini.

Pingat emas kelapan negara hadir menerusi gandingan mantap Chee Chao Ming dan Ting Ing Hock yang menumpaskan wakil tuan rumah (Indonesia), Prahasta Mohamad Rian dan Kusnanto Kusnanto 11-7,8-11,11-16 pada perlawanan akhir acara ping pong kategori TT8-9.

Atlet paralimpik sensasi negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang memecahkan rekod dunia bagi acara 100 meter (m) T36 lelaki dengan catatan 11.87 saat (s) turut menyumbang emas menerusi acara 400m T36  dengan merekodkan catatan masa 59.36s.

Tumpuan emas negara pastinya terarah kepada acara basikal berpasukan lelaki MC1-5 yang dibarisi atlet Mohd Yusuf Hafizi Shaharudin, Mohd Najib Turano dan Zuhairie Ahmad Tarmizi yang akan turun beraksi hari ini.

Namun Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nurul Shuhada Zainal mungkin ada kejutan bagi acara berbasikal wanita 3000m WB malah tidak ketinggalan juga bagi acara berbasikal 4000m lelaki kategori MB yang menyandarkan Khairul Hazwan Wahab dan Mohd Nor Rizuan Zainal yang bakal berlangsung di Jakarta International Velodrome.

Acara tenpin boling juga dilihat mampu menjanjikan emas menerusi trio berpengalaman negara, Zahidi Lamsah, Abu Bakar Nyat dan Mohd Azrin Rahim.

Sementara bagi kategori atletik, kontinjen negara dilihat mampu menuai satu lagi emas menerusi Ridzuan yang akan turun beraksi dalam acara lompat jauh T36, satu lagi acara yang menjadi sasaran emas adalah lompat jauh kategori T12 di mana Malaysia mewakilkan Wong Kar Gee.

 

 

Foto : FACEBOOK ASIAN PARA GAMES 2018

Sumber : BERNAMA