Shah Alam: BEKAS atlet tempur seni pertahanan diri campuran (MMA) yang digelar ‘War Machine’ dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah memukul bekas teman wanitanya sehingga menyebabkan kecederaan parah pada 2014.

Jonathan Paul Koppenhaver didapati bersalah oleh juri pada 29 Julai lalu atas beberapa tuduhan berkaitan serangan terhadap bekas teman wanitanya Christy Mack dan rakannya Corey Thomas.

dia diberitahu hakim Las Vegas Elissa Cadish bahawa dia layak untuk mendapat parol dalam tempoh 36 tahun pada usianya 71.

Koppenhaver dituduh menyerang Christy dan Corey selepas menuduh mereka menjalin hubungan.

Corey dicekik dan ditumbuk selama beberapa minit sementara Christy mengalami lebam pada tempurung mata kiri serta beberapa kecederaan muka, luka di bahagian hati, patah rusuk dan patah dua batang gigi.

Bagaimanapun Koppenhaver pada Mac lalu menulis dia gembira berdepan hukuman penjara untuk tempoh yang lama.

Dia bertarung 19 perlawanan MMA sepanjang kariernya dengan kali terakhir pada 2013 tetapi tewas kepada Ron Keslar di Bellator 104.