Connect with:




Masih ingatkah anda dengan pencapaian atlet-atlet Malaysia di peringkat dunia? Pelbagai pencapaian yang dicapai oleh mereka membolehkan mereka berada di ranking terbaik dunia. Mungkin tidak terlalu lama berada di ranking pertama dunia, tetapi mereka telah menaikkan nama Malaysia di seluruh dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pesaing utama kepada negara-negara lain. Mari kita imbas kembali atlet negara yang pernah berada di ranking pertama dunia.

 

Datuk Wira Lee Chong Wei (Badminton)

Nama Datuk Wira Lee Chong Wei sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia malah seluruh dunia apabila sering memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan terutamanya apabila bertemu musuh tradisinya dari China, Lin Dan. Sepanjang karier Chong Wei, beliau telah menjuarai 69 kejuaraan dan 34 kali sebagai naib juara dalam semua kejohanan yang dipertandingkan.

Mengikut kiraan, hampir 199 minggu Chong Wei berada di ranking pertama dunia dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012. Bukan sekali Chong Wei berada di ranking terbaik dunia, selepas tergelincir di ranking kedua, Chong Wei kembali melonjak ke ranking pertama pada 27 September 2012 dan bertahan sehingga 18 Disember 2014.

Walau bagaimanapun, pada Mac 2015, ranking Chong Wei jatuh menjunam sehingga pernah berada di ranking 180 dunia akibat isu doping dan penggantungan selama lapan bulan. Beliau kembali bangkit selepas itu dan berjaya merampas semula ranking pertama dunia pada 9 Jun 2016. Dan kali terakhir Chong Wei berada di ranking pertama dunia dalam sukan badminton adalah pada 1 Jun 2017.

 

Datuk Nicol Ann David (Squash)

Atlet kelahiran Pulau Pinang, Datuk Nicol Ann David salah satu atlet Malaysia yang mempunyai pencapaian terbaik di peringkat dunia dalam sukan squash. Nicol mula bermain squash sejak berumur lima tahun. Dari situ juga beliau mula meningkatkan prestasi sehingga mencatat kejuaraan WISPA pertamanya pada tahun 2000.

Menjelang tahun 2005, Nicol telah menjuarai pelbagai kejohanan dan pada awal 2006, Nicol telah menjadi pemain nombor satu dunia. Nicol juga telah memecahkan rekod apabila mengekalkan ranking pertama dunia selama hampir 108 bulan sehingga September 2015.

Sepanjang karier Nicol, beliau telah memenangi 81 kejuaraan WISPA yang merangkumi 8 gelaran Terbuka Dunia, 5 gelaran Terbuka British, 10 gelaran Terbuka Hong Kong, 5 gelaran Klasik Qatar dan 8 gelaran Terbuka Malaysia. Nicol juga berjaya memenangi kejohanan lain seperti Asian Championship, World Games, dan Asian Games.

 

Azizulhasni Awang (Berbasikal)

Azizulhasni Awang adalah seorang pelumba trek profesional negara. Beliau juga dikenali dengan jolokan The PocketRocketMan. Beliau memulakan kerjayanya apabila melihat perlumbaan abangnya. Beliau memenangi pingat emas pertama dalam acara pecut berpasukan di Nakhon Ratchasima pada tahun 2007.

Azizulhasni juga telah memenangi beberapa acara pecut dan keirin yang meletakkannya di ranking pertama dunia bagi acara keirin untuk tahun 2009 dan 2011. Beliau juga pernah mengalami kemalangan semasa berlumba yang mengakibatkan betisnya tertusuk serpihan kayu. Namun semangat yang ada di dalam dirinya membuatkannya untuk meneruskan perlumbaan dan berjaya menduduki tempat ketiga.

Antara pencapaian yang telah dicapai Azizulhasni adalah memenangi emas acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong (2017) dan pingat perak bagi acara pecut dan keirin dalam Kejohanan Dunia (2009 & 2010). Beliau juga merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio de Janiero.

 

Foto : Stadium Astro