Connect with:




Persatuan Kriket Malaysia (MCA) baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Malaysian Integrated Business College (Kolej MIB) untuk tempoh 10 tahun bagi memastikan pemain kriket negara dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk masa depan mereka.

Pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, MCA telah diwakili sendiri oleh Presiden mereka, Encik Mahinda Vallipuram dan Pengurus Besar Operasi, Encik S Dinesh Muthumaran sementara Kolej MIB diwakili Pengerusi, Encik Don Yong Heng Huat dan Pengerusi Akademi MIB, Dr S Thiagarajah.

Bagi MCA, perjanjian ini menunjukkan komitmen mereka untuk mengembangkan karakter atlet kriket negara yang dilatih sejak kecil lagi bukan sekadar di atas padang semata-mata.

“Kami tidak boleh membiarkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Inisiatif ini akan memastikan para pemain negara dilengkapi dengan ilmu pengetahuan sekaligus menjadikan mereka atlet berprestasi tinggi yang berkualiti” jelas Mahinda.

“Melanjutkan pengajian tinggi tidak bermakna anda harus mengorbankan impian menjadi atlet negara, begitu juga sebaliknya. Inisiatif ini akan menjadi pencapaian yang hebat buat para atlet dalam mengejar impian dalam dan juga luar padang” tambah beliau.

Sebagai rekod, kelompok pemain negara ketika ini dibarisi sejumlah pelajar dari pelbagai tahap termasuk di sekolah rendah, menengah dan insititut pengajian tinggi. Menerusi perjanjian ini, MCA akan memilih 5 pemain negara untuk melanjurkan pengajian di peringkat diploma Kolej MIB pada setiap tahun dan dalam masa yang sama memastikan pemain akan terus bermain untuk pasukan kebangsaan.