Connect with:




Kecil-kecil si cili padi! Demikianlah yang digambarkan pada atlet cilik negara, C Sree Abiraame selepas mengharumkan Malaysia dengan membolot lima pingat emas pada Kejohanan Luncur Ais Antarabangsa Timur Tengah ke-4 yang berakhir, Sabtu lepas.

Pada hari terakhir kejohanan, peluncur ais muda negara berusia tujuh tahun itu, berjaya memenangi dua pingat emas apabila mengatasi peserta Thailand, Tanthanasin Nicha pada final acara Freestyle 1 Footwork kategori perempuan 7 hingga 8 tahun.

Kejohanan yang juga dikenali sebagai Kejohanan Luncur Ais Abu Dhabi 2019 itu turut menyaksikan Sree Abiraame mengutip pingat emas kelima kejohanan dengan menewaskan peserta tuan rumah,​​​​​​​​​​​​​​ Mizuguchi Hanabi dalam acara Artistic Freestyle 1.

Difahamkan, pelajar Sekolah Antarabangsa Kingsley itu memulakan kempen memikul emas dalam acara ‘Speed Skating’ pada Khamis iaitu hari pertama kejohanan, sebelum menambah dua lagi emas masing-masing dalam cara Freestyle dan Solo Camp Freestyle semalam.

“Saya sungguh gembira untuk melakarkan kejayaan ini….terima kasih kepada semua yang berdoa untuk saya. Saya akan berusaha ke arah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan, Itali,” katanya.

Sebelum ini, Sree Abiraame pernah merangkul empat emas, satu perak dan satu gangsa pada siri Kejohanan Asia ISI di Bangkok, Ogos tahun lalu dan empat pingat emas di Shenzhen, China pada Disember lalu.

BERNAMA