Sumbangan atlet-atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang cemerlang sepanjang tahun 2011 akan diberi pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2011 yang bakal berlangsung pada Isnin ini.

Olahragawan dan Olahragawati MASUM 2010 iaitu Bryan Nickson Lomas (Terjun) dan Chai Fong Ying (Wushu) adalah antara atlet yang bakal menerima insentif atas kecemerlangan mereka tahun lalu. Selain itu, dijangka seramai 50 atlet negara yang juga atlet IPT bakal menerima insentif di bawah Skim Insentif dan Penyelidikan Sukan (SKIPS) ini.

Antara atlet-atlet tersebut adalah  Katrina Ann Abdul Hadi (Renang Berirama), Roslinda Samsu (Olahraga), Khoo Chai Lin (Renang), Cheng Chu Sian (Memanah) serta pertahanan skuad Olimpik kebangsaan, Mahali Jasuli.

Menurut Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Saharudin Hj Ismail, insentif ini adalah atas pencapaian cemerlang atlet-atlet tersebut di dalam beberapa kejohanan utama sepanjang tahun 2011 termasuk dalam Sukan SEA Indonesia.

Tambahnya lagi, majlis ini merangkumi tiga segmen utama iaitu pelancaran Jurnal Penyelidikan Ilmiah Sukan dan sistem E-Jurnal disamping penyerahan Geran Penyelidikan Sukan IPT kepada tiga penyelidik terpilih yang membangunkan penyelidikan berteraskan kejuruteraan sukan.

Segmen kedua adalah penyerahan biasiswa sukan kepada atlet IPT dan segmen terakhir adalah penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan merangkumi hadiah wang tunai kepada para atlet IPT yang cemerlang sepanjang tahun lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah berkata bahawa insentif ini adalah sebagai satu token penghargaan buat mereka dan sama sekali tidak menyamakan keringat yang dicurahkan para atlet dengan wang ringgit.

Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini akan dilangsungkan di Hotel Marriot, Putrajaya dan dijangka akan dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama timbalannya iaitu Dato’ Dr Hou Kok Chung dan Dato’ Saiffudin Abdullah.