Connect with:




Atlet lawan pedang Amerika Syarikat (AS), Ibtihaj Muhammad yang juga duta produk jenama sukan Nike mengkritik sikap kerajaan Perancis tidak membenarkan penjualan hijab.

Ibtihaj telah menghadiri majlis pelancaran barangan sukan berjenama AS itu di Perancis yang juga merupakan tuan rumah kepada kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Wanita.

Pada Februari lalu, Nike telah terlibat kontroversi apabila Decathlon tidak mahu menjual produk hijab keluaran Nike di kedai-kedainya seluruh Perancis.

“Saya sentiasa memakai hijab Nike pro saya setiap hari. Agak menyedihkan apabila Perancis tidak mahu terlibat dengan promosi produk ini. Menghalang sesebuah syarikat untuk menjual produk hijab sukan adalah perkara yang sangat memalukan.

“Saya rasa tindakan ini akan memberi kesan buruk kepada negara itu sendiri,” katanya melalui laman Twitter miliknya sebelum berangkat ke Perancis.

Sementara itu, jurucakap kepada Presiden Emmanuel Macron, Aurore Berge berkata, pemakaian hijab di dalam sukan adalah bertentangan dengan nilai-nilai warga Perancis.

Manakala Lydia Guirous  dari parti Republikan pula berkata, pemakaian hijab melambangkan penundukkan seorang wanita.

Ibtihaj yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio nyata tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

“Anda bukan seorang feminis jika anda percaya pemakaian hijab buka satu pilihan.

“Jika anda percaya terdapat kebebasan individu untuk memilih, anda sudah pasti akan menyokong wanita yang berhijab. Ia bukan pilihan anda tetapi pilihan kami semua.

“Sekiranya anda melihat berhijab merupakan satu masalah, mereka tidak layak untuk berada dalam dunia sukan kerana sukan adalah untuk semua tanpa mengira bangsa, jantina, kepercayaan, warna kulit dan sebagainya,” katanya.

Di Perancis hanya Menteri Sukan, Roxana Maracineanu yang menyokong penjualan hijab dan penggunaan hijab dalam sukan di negara itu. – AFP/Firstpost

 

Foto : Ibtihaj Muhammad