Aksi persahabatan antara Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM FC) dan Astro Awani berkesudahan dengan SAM menang tipis 2-1 di Wisma FAM, malam tadi.

Perlawanan yang bermula sedikit lewat akibat hujan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak dari awal permainan. Astro Awani memberikan saingan sengit kepada barisan pemain SAM FC yang diketuai Hafizal Hamad dari RTM.

Terikat tanpa jaringan diawal babak pertama, SAM FC akhirnya memecah kebuntuan hasil jaringan menarik Farhan Zainal yang berjaya merampas bola dari pertahanan Astro Awani sebelum menewaskan penjaga gol lawan.

Walaupun Astro Awani bangkit menyamakan kedudukan selepas itu, SAM FC tidak menunggu lama apabila Hafizal Hamad melepaskan rembatan cantik menerjah gawang lawan seminit kemudian seterusnya memberikan kemenangan buat pasukannya.

Usaha Astro Awani untuk kembali mengikat SAM FC tidak berjaya apabila kerap kali dikecewakan penyudah kurang berkesan disamping benteng pertahanan lawannya yang kemas menyekat asakan mereka. Sementara SAM FC pula berpeluang menambah jaringan namun mensia-siakan beberapa peluang terbuka di depan gol.