Rekod 17-0 yang dimiliki juara welterweight dunia ONE Championship, Ben Askren sememangnya melayakkan bintang MMA dari Amerika Syarikat ini diangkat menjadi seorang lagenda dalam siri MMA terbesar di Asia ini.

Sudah pun berusia 33 tahun, Askren mengejutkan para peminatnya selepas membuat pengumuman untuk bersara tahun ini. Pengasas ONE FC, Chatri Sityodtong menceritakan bagaimana Askren meminta beliau untuk mengaturkan perlawanan terakhirnya sebelum bersara.

“Askren menghantar mesej kepada saya yang beliau (Askren) mahu bersara dan meminta untuk saya carikan lawan paling hebat untuk pertarungan tersebut.

“Saya kemudiannya mencadangkan nama Shinya Aoki, dan beliau setuju. Kemudian saya menghubungi Aoki mengenai perkara ini. Aoki juga turut bersetuju. Ia cuma mengambil masa seminit untuk aturkan pertarungan epik ini” kata Sityodtong dalam sidang media ONE: IMMORTAL PURSUIT di Marina Bay, Singapore pada Rabu.

Bagi Ben, beliau mahu mengakhiri karier MMA ini dengan rekod cemerlang. Bekas atlet gusti Olimpik Amerika Syarikat ini mempunyai sebab untuk membuat keputusan bersara ketika dirinya berada pada kemuncak.

“Prinsip saya mudah – jangan berada terlalu lama kerana ia akan merosakkan karier anda. Sebaiknya berhenti ketika anda sudah berada di kemuncak.

“Ramai lagenda yang kecundang apabila meneruskan karier ketika sudah berada dalam zaman kegemilangan. Lebih baik saya akhiri karier saya dengan noktah yang menggembirakan” jelas Askren.

Bagi Aoki pula, beliau tidak menyembunyikan perasaan gentar untuk bertarung dengan Askren di Stadium Tertutup Singapura, Jumaat ini.

“Saya takut tetapi dalam masa yang sama saya sudah bersedia untuk ‘membunuh’ dan ‘dibunuh’. Saya harap dapat pulang ke rumah dengan selamat” kata bekas juara dunia ONE Lightweight ini.

Selain pertarungan epik Askren-Aoki, ONE:IMMORTAL PURSUIT turut membawakan beberapa lagi aksi yang dijangka menjadi perhatian ramai seperti pertarungan Amir Khan; jaguh MMA Singapura menentang Adrian Pang serta pertemuan bekas perenang Olimpik Singapura, May Ooi melawan Vy Srey Khouch; jaguh tinju Kemboja.

Juara dunia atomweight, Angela Lee pula tidak dapat meneruskan pertarungannnya minggu ini selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya minggu lalu.

Satu-satunya peserta dari Malaysia yang bertanding Jumaat nanti ialah Muhammad Aiman yang akan menentang Yang Fei dari China dalam kategori bawah 70 kilogram.