Asics Asia Pasifik tampil selaku penaja kasut skuad hoki kebangsaan lelaki dan wanita termasuk skuad dalam dewan. Penajaan tersebut menyaksikan setiap pemain mendapat dua pasang kasut dan jumlah penajaan melebihi RM 100,000 di mana 214 pasang kasut telah diberikan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Menerusi Dentsu Sports Asia, penajaan telah disalurkan dan menurut Timbalan Presiden Dentsu Sports Asia, Stuart Ramalingam, penajaan tersebut merupakan petanda positif di mana jenama yang bertaraf dunia seperti Asics tampil untuk menaja skuad hoki negara setelah menyaksikan kebangkitan dan kejayaan yang ditunjukkan beberapa tahun ini.

Stuart berkata, “Penajaan ini telah membuktikan bahawa skuad hoki Malaysia telah mendapat perhatian daripada suatu jenama bertaraf antarabangsa seperti Asics.

“Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada kejayaan yang telah dibuktikan oleh skuad hoki negara dalam beberapa tahun ini,” ujar Stuart selepas menyempurnakan penyampaian tajaan di Stadium Hoki Tun Razak.

Stuart juga menambah kepimpinan terbaik yang di tunjukkan dalam sukan hoki selain peningkatan yang dapat disaksikan telah menarik minat Asics untuk menaja. Beliau juga berharap penajaan ini tidak akan terhenti setakat kepada skuad kebangsaan.

“Walaupun ia merupakan satu penajaan jangka masa pendek tetapi saya percaya peningkatan dan juga kepimpinan yang baik yang ditunjukkan dalam sukan hoki menarik minat jenama seperti Asics untuk tampil selaku penaja.

“Saya berharap penajaan ini sebagai langkah pertama untuk membuka jalan kepada sesutu yang mungkin lebih besar dan hebat untuk Asics menyumbang kepada sukan hoki bukan hanya kepada skuad kebangsaan tetapi juga di peringkat liga dan kelab,” tambah Stuart.

Perjanjian yang telah ditandatangani diantara Asics dan KHM juga telah memberikan kelonggaran untuk pemain sama ada mahu menggunakan kasut yang ditaja ataupun tidak bersesuaian dengan keselesaan pemain.