Sebagai usaha mengembangkan minat terhadap sukan ragbi di peringkat sekolah, kelab ragbi terkemuka negara, Combined Old Boys Rugby Association (COBRA) dengan kerjasama syarikat kesihatan swasta antarabangsa, Columbia Asia akan menganjurkan Pogram Ragbi Sekolah Columbia Asia-COBRA.

Dengan mensasarkan penyertaan daripada pelajar sekolah menengah berumur 16 tahun ke bawah dari beberapa buah sekolah terpilih yang terletak di sekitar komuniti Hospital Columbia Asia di Semenanjung Malaysia, program ini turut bermatlamat untuk mengesan dan mengetengahkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan ini.

Naib Presiden COBRA yang juga jurulatih ragbi kebangsaan, Boon Hoon Chee, menyambut baik penganjuran program ini dan berharap ia dapat membantu memperkasakan lagi pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

“Ini sebenarnya merupakan satu inisiatif yang sangat baik, sukan ragbi mendapat sambutan yang semakin menggalakkan di peringkat sekolah dan ia harus diteruskan. Saya pernah menyaksikan kejohanan membabitkan pemain bawah 16 tahun, dan tahap mereka bermain sama seperti orang dewasa.

“Saya percaya ini baru permulaan dan di masa akan datang kita akan dapat tarik lebih banyak sekolah untuk turut serta, ia petanda yang baik untuk pembangunan sukan ragbi itu sendiri,” katanya pada sidang media.

Untuk rekod, COBRA telah mengusahakan pembangunan ragbi di sekolah sejak tahun 2005 di mana mereka melatih dan melengkapkan para guru di sekolah menengah untuk menjadi Jurulatih Tahap 1 dan Tahap 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia, Kelvin Tan, berkata beliau melihat kerjasama ini sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dan berterima kasih diberi peluang untuk terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung di dalam membangunkan sukan ragbi.

“Kami cukup teruja untuk memainkan peranan di dalam membangunkan sukan ini. Tidak seperti bolasepak mahu pun badminton, ragbi bukanlah kategori sukan yang ramai peminat di Malaysia, ada banyak kekangan.

“Justeru itu apabila COBRA bertanya samada kami mahu terlibat di dalam membantu membangunkan program ragbi di sekolah, kami menganggap ia sebagai satu langkah signifikan untuk terlibat sama, dan melalui kerjasama ini diharap bukan sahaja dapat mencapai hasrat mengangkat imej sukan ragbi, tetapi juga membekalkan platfom untuk Columbia Asia menjalin hubungan dengan komuniti sekitarnya, bermula dengan kawasan sekolah.

Program Ragbi di Sekolah Columbia Asia-COBRA ini mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan dan pengiktirafan dari Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU). Ia terbahagi kepada dua segmen iaitu Klinik Kejurulatihan Ragbi dan Kejohanan Ragbi 15 Sebelah.

Bagi segmen Klinik Kejurulatihan, ianya akan diadakan pada 16, 17, 23 dan 24 Jun di kawasan sekitar Lembah Klang manakala bagi kawasan Perak, Negeri Sembilan dan Johor, akan diadakan pada bulan Julai membabitkan 44 orang guru dan 880 peserta dari 22 buah sekolah.

Tujuan utama klinik ini adalah melatih peserta mendalami ilmu sukan ragbi dan menajamkan kemahiran mereka, dengan tenaga pengajar terdiri daripada ahli COBRA dan juga wakil sekolah yang terlibat.

Manakala Kejohanan Ragbi Columbia Asia-COBRA pula merupakan kejohanan membabitkan 8 pasukan dari sekitar Lembah Klang, yang akan berlangsung dari 30 Jun hingga 14 Julai.