Connect with:




Jurulatih Arsenal, Unai Emery yakin bahawa skuad kendaliannya mampu bangkit daripada kekalahan 1-3 kepada Rennes dalam aksi pusingan 16 terakhir, Liga Europa awal pagi tadi.

Dalam aksi awal pagi tadi, Arsenal dihadapan melalui jaringan Alex Iwobi sebelum Sokratis Papastathopoulos di buang padang selepas menerima dua kad kuning pada penghujung babak pertama.

Kesempatan itu digunakan oleh Rennes yang menghasilkan tiga gol masing-masing daripada Benjamin Bourigeaud, Ismaila Sarr dan gol sendiri daripada pertahanan Arsenal, Nacho Monreal.

Emery berkata: “ Dalam tempoh 40 minit pertama, saya rasa kami menguasai permainan, kami menjaringkan gold an kami tidak memberi banyak peluang kepada mereka. Saya mengakui pasukan saya tidak bermain dengan baik selepas Sokratis di buang padang”.

Keputusan itu bermakna Arsenal perlu bangkit mengatasi defisit itu jika mahu layak ke suku akhir dengan aksi kedua menentang kelab Ligue 1 itu dijadualkan Khamis depan.

“Kami perlu meningkatkan persembahan dan saya yakin kami boleh dengan pemain serta sokongan peminat di Stadium Emirates mampu memberikan kami suasana perlawanan besar”, tambah Emery.

Emery juga yakin bahawa pasukannya boleh bangkit daripada tamparan Liga Europa di Rennes apabila bakal berdepan Manchester United hujung minggu ini.

Mereka akan melayan kunjungan United di Emirates yang merupakan satu pertembungan penting buat kedua-dua pasukan untuk perebutan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

“Kami mencari pemain cergas dan tenaga berbeza bagi setiap perlawanan dan bagi Ahad ini saya fikir ia tetap sama.

“Setiap pemain bekerja keras dan kami tidak sabar menanti perlawanan seterusnya, tapi saya tahu dan positif bagi aksi Ahad ini, bahawa dengan pemain cergas serta bertenaga, dengan kualiti, kami mempunyai kemungkinan untuk beraksi dengan cemerlang menentang Manchester United dan mengalahkan mereka”, tambah Emery.

Arsenal kini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris satu mata di belakang Manchester United.

Foto : Sportskeeda