Connect with:




Arsenal mudah mengenepikan cabaran wakil Russia, CSKA Moscow dengan kemenangan 4-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Europa di Emirates, awal pagi tadi.

Arsenal menurunkan kesebelasan utama mereka dan mendominasi perlawanan sejak awal lagi dan kemenangan tersebut menyaksikan mereka sudah berada sebelah kaki di separuh akhir.

Pada perlawanan awal pagi tadi, kedua-dua pasukan tidak dipengaruhi ketegangan politik antara Britain dan Russia kerana insiden bekas pengintip Russia dan anak perempuannya diracun menggunakan ejen saraf di bandar selatan England bulan, lalu.

Tiada ketegangan berlaku dengan hanya sekitar 200 penyokong CSKA yang hadir dan perlawanan dapat berlangsung dengan aman.

Arsenal mengambil peluang tersebut dengan Aaron Ramsey dan Alexandre Lacazette masing-masing menjaringkan dua gol pada babak pertama dan memastikan saingan itu menjadi milik mereka.

“Ia adalah babak pertama yang sempurna dengan perlawanan pantas dan kami menjaringkan gol. Namun, ia tidak begitu selesa uat saya kerana mereka tampak bahaya,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

“Pada kedudukan 4-1, sasaran kami ialah tidak dibolosi dan mungkin menjaringkan satu lagi gol.

“Kami melakukan bahagian pertama tugasan tetapi tidak bahagian kedua. Tapi ia membantu kami untuk fokus pada perlawanan kedua.”

Walaubagaimanapun, masih belum dipastikan keadaan penyokong Arsenal dan pemain di ibu kota Russia itu minggu depan.

Bagaimanapun, jurulatih CSKA, Viktor Goncharenka menggalakkan penyokong Gunners dan England datang ke Russia untuk Piala Dunia, Jun ini.

“Datanglah ke Russia. Kami pastikan akan ada stadium yang hebat dan bola sepak yang hebat,” kata Goncharenka.

Arsenal kini berada di kedudukan keenam Liga Perdana dan harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara ialah memenangi Piala Europa di Lyon pada 16 Mei ini.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : standard(dot)co(dot)uk