SHAH ALAM: Kapten Turki, Arda Turan mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, beberapa jam selepas disingkirkan daripada kem latihan oleh jurulatih Fatih Terim kerana didakwa memarahi dan mengasari seorang wartawan.

Pemain tengah Barcelona itu menyatakan bahawa masanya sudah tiba untuk menamatkan karier bersama pasukan kebangsaan.

Turan diarah keluar daripada kem Turki di Slovenia, tempat pasukan Turki mempersiapkan diri bagi kelayakan Piala Dunia 2018 melawan Kosovo, Ahad ini.

Isnin lalu, Turan dilaporkan membidas Bilal Mese, seorang wartawan sukan veteran ketika dalam penerbangan selepas perlawanan persahabatan dengan Macedonia di Skopje yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Melalui penulisan Mese ketika Euro 2016 menyebabkan Turan berang berhubung dakwaan pemain sayap Barcelona itu berselisih faham dengan Terim mengenai bonus pemain.

Turan dilaporkan menggunakan bahasa kesat dan memarahi Mese selain menggelarnya sebagai seorang yang ‘tidak malu’.

Saksi di tempat kejadian turut mendakwa Turan mencekik Mese dan hampir menumbuk wartawan berkenaan sebelum pemain lain campur tangan.

Mese – yang menceburi kewartawanan sukan sejak 1973 – dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Turan apabila kembali ke Turki, lapor akhbar diwakilinya, Milliyet.