Connect with:




Sebelum Piala Asia bermula, ramai pemerhati bolasepak Asia memilih gergasi seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran dan Australia sebagai pilihan merangkul kejuaraan terulung benua terbesar di dunia ini.

Bagaimanapun, kesemua pasukan-pasukan tersebut ditenggelami dengan kehebatan Qatar yang melakar sejarah sebagai negara kesembilan muncul juara.

Pasukan dari tanah Arab ini memulakan kempen dalam peringkat kumpulan dengan cukup bergaya. Menjuarai kumpulan E dengan menewaskan Arab Saudi, Lubnan dan Korea Utara tanpa sebarang bolos, The Maroons kemudiannya menumbangkan Iraq di peringkat 16 terakhir sebelum membuat kejutan menang ke atas Korea Selatan di suku akhir.

Mereka kemudiannya membelasah seteru Arab mereka yang juga tuan rumah, UAE pada separuh akhir untuk membuat perhitungan di final dimana kemenangan 3-1 ke atas Jepun cukup untuk menobatkan mereka sebagai juara.

Apakah yang membuatkan Qatar, pasukan ranking ke-93 dunia berjaya menguasai pentas bolasepak Asia ini? Berikut adalah 4 faktor yang membawa kepada kejayaan mereka.

1) KEHEBATAN ASPIRE ACADEMY

Aspire Academy merupakan akademi sukan yang cukup terkenal bukan sahaja di Qatar, malah di dunia. Bermula sebagai sebuah badan bebas yang menerima geran dari kerajaan sebelum bertukar menjadi satu unit perniagaan strategi, Aspire telah menjadi asas terbaik untuk perkembangan sukan di Qatar termasuk bolasepak.

Pada tahun 2014, pasukan bawah 19 kebangsaan mereka yang dibarisi hampir kesemua bekas penuntut Aspire berjaya menjuara kejuaraan AFC bawah 19 tahun di Myanmar. 5 daripada skuad tersebut antara yang membantu kejayaan di UAE tahun ini termasuk penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan, Almoez Ali.

2) KESETIAAN FELIX SANCHEZ

Felix Sanchez bukanlah seorang jurulatih ternama jika dibandingkan dengan jurulatih negara-negara Asia yang lain seperti Carlos Quieroz (Iran), Sven Goran Eriksen (Filipina), Paulo Bento (Korea Selatan) atau Marcello Lippi (China). Memulakan karier kejurulatihannya sebagai jurulatih pembangunan Barcelona, Sanchez kemudian menjadi jurulatih di Aspire Academy pada tahun 2006 hingga 2013 sebelum membawa skuad bawah 19 tahun Qatar.

Kejayaan membawa pasukan bawah umur mendapat perhatian Qatar FA yang menawarkan kontrak mengemudi skuad senior, menggantikan Jorge Fossati dari Uruguay. Hampir 13 tahun berada di bumi Qatar, Sanchez pastinya sudah masak dengan bolasepak negara tersebut apatah lagi beliau sudah melatih ramai pemain Qatar ketika menjadi jurulatih bawah umur. Kejayaan Sanchez ini mendapat pujian dari Barcelona dimana DNA kelab gergasi Sepanyol tersebut digunapakai oleh Sanchez sama seperti ketika pengendali tersebut berada di La Masia, mencungkil bakat seperti Sergi Roberto, Marc Muniesa, Gerard Deulofeu dan Martin Montoya.

3) PORGRAM NATURALISASI YANG BERKESAN

Sebastian Soria (Photo by Matthew Ashton/AMA/Corbis via Getty Images)

Qatar sememangnya tidak asing dengan program naturalisasi mereka dalam arena sukan. Saif Saaeed adalah salah seorang contoh atlet naturaliasi qatar. Juara dunia dua kali dalam acara 3000 meter ini merupakan bekas juara dunia remaja dari Kenya. Begitu juga dengan grandmaster chess, Zhu Chen yang berasal dari China sebelum menukar kerakyatan selepas berkahwin dengan jaguh catur Qatar, Mohamad Al-Modiahki. Pasukan bola baling mereka yang kini merupakan pasukan nombor 1 di Asia juga mempunyai ramai pemain naturalisasi dari Perancis dan Afrika Utara sehingga mencetuskan kontroversi ketika Kejuaraan Dunia 2015 yang menyaksikan mereka muncul naib juara.

Dalam bolasepak, polisi ini juga digunapakai bermula pada tahun 2006 dimana Sebastian Soria yang berasal dari Uruguay menjadi bintang utama bolasepak Qatar. Di UAE, Qatar membariskan beberapa pemain naturalisasi seperti Boualem Khoukhi dan yang berasal dari Algeria, Bassam Al-Rawi dari Iraq serta Ró-Ró dari Brazil.

4) PERANG DIPLOMATIK DENGAN UAE

Pada tahun 2017, UAE bersama-sama dengan Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Bahrain telah menuduh Qatar menyokong pergerakan pengganas sehingga negara-negara tersebut memutuskan hubungan diplomatik termasuk melarang penggunaan ruang angkasa untuk pesawat dari Qatar.

Isu ini turut menjejaskan Qatar selaku tuan rumah Piala Teluk pada 2017 yang menyaksikan Arab Saudi, UAE dan Bahrain mahu memboikot kejohanan tersebut sehinggalah hak tuan rumah terpaksa diserahkan kepada Kuwait. Ia bertambah buruk di Piala Asia 2019 dimana penyokong Qatar dilarang masuk ke UAE malah ketika perlawanan separuh akhir yang melibatkan kedua-dua pasukan, UAE telah membeli semua tiet termasuk tiket penyokong lawan untuk mengelakkan penyokong-penyokong dari negara lain masuk ke stadium untuk menyokong Qatar. Dalam perlawanan tersebut, lagu kebangsaan Qatar telah diboo selain pemain mereka dibaling selipar dan kasut oleh penyokong tuan rumah ketika meraikan jaringan.

Apa yang telah berlaku ini diakui menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain Qatar yang semakin bermotivasi untuk menang di bumi seteru Arab mereka.

 

-perang diplomatik dgn uae