Pembinaan Velodrom Nasional yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan menjadi satu lagi penanda aras baru untuk sukan ini. Ia bakal menjadi kebanggaan rakyat Malaysia namun yang lebih penting, akan menjadi kilang melahirkan lebih ramai lagi ‘Pocket Rocketman’ pada masa akan datang.

Dunia Sukan baru-baru ini telah melakukan kunjungan ke Velodrom Nasional (VELNAS) untuk melihat sendiri kecanggihan yang ada disini yang akan menjadi venue perlumbaan di Sukan SEA, Ogos nanti.

APA YANG MENARIK DI VELNAS?


Basikal ini merupakan basikal yang ditunggangi Azizulhasni Awang ketika zaman remajanya. Sewaktu itu, nama Azizul masih belum menyerlah namun basikal ini tetap menyumbang terhadap pembangunan karier beliau.

 


Kata-kata motivasi diletakkan di dinding untuk tatapan para pengunjung dan juga atlet sendiri.

 


Dinding kemasyuran memaparkan kejayaan atlet-atlet berbasikal negara sejak Malaysia menyertai acara ini diperingkat antarabangsa. Pasti senarai kejayaan akan bertambah dari masa ke semasa.

 


Lobi utama velodrom yang dirasmikan pada 25 Mei yang lalu.

 


Bilik media untuk para petugas media yang akan membuat liputan setiap acara yang berlangsung di sini. Bilik ini terletak bersebelahan dengan bilik sidang media.

 

Bilik mesyuarat ini cukup luas dan selesa untuk delegasi pasukan mengadakan persidangan pada setiap kali adanya acara di Velnas ini.

Ini merupakan trek untuk acara perlumbaan BMX. Permukaannya ditutup seandainya tiada latihan atau perlumbaan berlangsung. Trek ini turut menjadi gelanggang untuk acara BMX di Sukan SEA nanti.


Ini merupakan ‘atlet lounge’ yang turut dilengkapi dengan 10 asrama buat para atlet; masing-masing 5 untuk lelaki dan wanita. Ia memudahkan pelumba yang mahu menginap di velodrom ini. Kemudahan dalam bilik asrama ini setaraf dengan hotel. Di bahagian luar, ‘atlet lounge’ ini akan disediakan mesin pembancuh air dan jus serta menjadi lokasi berehat yang paling selesa kepada mereka.

Bilik VVIP dan tetamu kehormat.

 

Kawasan tempat duduk media dalam velodrom ini mempunyai meja yang memudahkan lagi petugas media melakukan tugasan dan kerja mereka.

Bumbung velodrom membenarkan sinaran matahari masuk ke dalam sekaligus menjimatkan lagi penggunaan tenaga. Hanya satu barisan lampu sahaja digunakan pada waktu siang.

 

Di kawasan tengah velodrome ini akan dibina satu gimnasium yang akan mengambil suku atau separuh dari bahagian ini. Ia adalah perancangan yang dibuat oleh pihak pengurusan untuk menjadikannya seperti velodrom-veldorom bertaraf dunia yang lain. Ia juga boleh dijadikan gelanggang untuk sukan seperti badminton.

 


Permukaan trek diperbuat dari kayu Siberia. Velodrom ini telah mendapat pensijilan Kelas 1 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Dari segi penjagaan, pihak pengurusan akan membuat pemantauan secara mingguan termasuk membuat ‘trek checking’ setiap kali selepas adanya sesi latihan atau perlumbaan.

 


Velodrom ini mampu memuatkan seramai 2000 orang penonton dalam satu-satu masa.

 

VELNAS sememangnya cukup mengagumkan. Jangan lepaskan peluang melihat sendiri aksi pelumba negara di Sukan SEA nanti. Acara lumba basikal trek bermula dari 27 hingga 29 Ogos.