Kejayaan atlet paralimpik negara memenangi pingat Olimpik pada 2012 menyaksikan mereka terus dihargai dan kali ini, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memberi pengiktirafan kepada mereka dengan menyenaraikan Ziyad Zolkefli dan Hasihin Sanawi dalam senarai calon Anugerah SAM-100PLUS.

Perkara ini diumumkan Timbalan Presiden SAM, Asan Ahmad ketika berucap dalam sidang media pengumuman anugerah tersebut yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada Selasa.

Ziyad, atlet lontar peluru paralimpik negara memenangi gangsa pada Olimpik tahun lalu sementara Hasihin berjaya meggondol pingat perak menerusi acara memanah. Walaubagaimanapun, kedua-dua atlet ini perlu bersaing dengan 2 calon pilihan iaitu ratu terjun negara, Pandelea Rinong serta jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Melengkapkan senarai calon ialah ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David dan juga pemain tenpin boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek.

Pengumuman ini disambut gembira 100PLUS selaku penaja utama anugerah selepas pengurus hal ehwal koperat F&N Beverage Marketing, Cariessa Goh berkata penyenaraian atlet paralimpik ini menyaksikan penganjuran kali ini lebih bermakna berbanding edisi-edisi sebelumnya.

“Kami di pihak F&N nyata berbangga dengan keputusan yang dibuat SAM ini. Sememangnya ini satu langkah yang baik untuk memberikan pengiktirafan kepada atlet-atlet paralimpik yang turut menyumbang kepada pembangunan sukan di Malaysia” kata Cariessa yang ditemui selepas majlis tersebut.

 

Pengurus Hal Ehwal Koperat F&N Beverage Marketing, Cariessa Goh

Pengurus Hal Ehwal Koperat F&N Beverage Marketing, Cariessa Goh

 

Dalam pada itu, anugerah tahunan ini turut meneruskan kategori media yang diberi nama ‘SAM-KBS Media Awards’ bagi mengiktiraf hasil kerja para pengamal media sukan terutamanya ahli SAM.

Tujuh kategori dipertandingkan iaitu laporan terbaik masing-masing bagi media cetak dan media elektronik, ulasan terbaik (media cetak dan elektronik), laporan khas terbaik (semua media) serta gambar terbaik.

Kesemua 6 pemenang ini akan merebut hadiah utama yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 7,000.00 serta trofi.

“Terdapat peningkatan penyertaan pada tahun ini dan kita masih menerima borang penyertaan dari mereka yang ingin bertanding. Ini satu perkara yang positif jika dibandingkan dengan penyertaan pada tahun lalu” kata Asan yang turut menjangkakan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek ke majlis tersebut nanti.

Anugerah SAM-100PLUS 2012 akan berlangsung pada 19 Februari ini bertempat di Hotel Hilton, Petaling Jaya.