Connect with:




Setiap tahun pasti akan ada anugerah-anugerah tertentu yang akan diterima oleh atlet negara yang telah bersusah payah memperjuangkan sukan yang diceburinya atas nama Malaysia. Pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2018 yang akan berlangsung hari ini, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet tenpin boling, Muhammad Rafiq Ismail dilihat sebagai pilihan popular untuk meraih Anugerah Atlet Terbaik.

Malah edisi majlis anugerah kali ini lebih menarik apabila ia diadakan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan SAM, yang telah ditubuhkan pada tahun 1969.

Majlis berkenaan bakal menyaksikan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis itu serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga dijadualkan hadir.

Sebelum memutuskan kemenangan siapa yang bakal menerima anugerah tersebut, 15 atlet akan di senarai oleh SAM berdasarkan keputusan dan pencapaian yang diraih sepanjang 2018. Manakala bagi Anugerah Khas pula akan dikira melalui undian para peminat sukan tanah air yang telah tamat undian pada 7 April 2019.

Peminat akan menjadi juri bagi memilih samada atlet atau pasukan kegemaran untuk memenangi Anugerah Khas Penyokong 100PLUS yang akan disampaikan di majlis itu nanti. Atlet yang mendapat ‘LIKE’ dan ‘HEART’ tertinggi akan dinobat sebagai pemenang Anugerah Khas Penyokong 100PLUS.

Untuk anugerah edisi kali ini seperti yang dinyatakan pada awal perenggan Azizulhasni Awang dan Muhammad Rafiq dilihat calon yang paling popular untuk menerima Anugerah Atlet Terbaik 2018.

Azizulhasni berusia 31 tahun yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ kini memburu anugerah itu buat kali ketiga selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.

Pada 2018, Azizulhasni cemerlang meraih emas acara pecut individu lelaki serta satu pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin pada temasya Sukan Asia Asia Jakarta-Palembang 2018. Serta beliau turut meraih pingat emas pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional, Nilai pada Oktober 2018.

Manakala Muhammad Rafiq turut melakar kejayaan pada 2018 apabila  meraih emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong dan lebih manis kejayaan itu menjadikan beliau sebagai pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, atlet muda berusia 22 tahun itu juga beraksi cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki.

Manakala bagi Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang juga merupakan Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018, dilihat sebagai pesaing terkuat untuk memenangi anugerah tersebut.

Jaguh pecut para negara itu berjaya melakar kejayaan membanggakan pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi. Selain dua anugerah utama yang dipertandingkan tiga lagi anugerah akan disampaikan ialah Anugerah Atlet Muda Terbaik, Anugerah Khas dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik. – BERNAMA

 

 

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1997 – Nurul Huda Baharin (Menembak)

1998 – Lim Keng Liat (Renang)

1999-2001 – Tiada Anugerah

2002 – Lim Keng Liat (Renang) Dan S.Premila (Karate-Do)

2003 – Lim Keng Liat (Renang)

2004 – Bryan Nickson Lomas (Terjun)

2005 – Nicol Ann David (Skuasy)

2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (Badminton)

2007 – Wong Mew Choo (Badminton)

2008 – Lee Chong Wei (Badminton)

2009 – Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2010 – Pandelela Rinong (Terjun)

2011 – Nur Suryani Taibi (Menembak)

2012 – Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2013 – Sazali Samad (Bina Badan)

2014 – Nicol Ann David (Skuasy)

2015 – Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2016 – Lee Chong Wei (Badminton)

2017 – Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

 

ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:

2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

2017 – Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga)

Foto: Reuters