Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penggantungan untuk tempoh dua tahun setengah oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam prosiding yang berlangsung di Wisma FAM hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak ketika mengumumkan perkara tersebut menyatakan hukuman tersebut berkuatkuasa hari ini dan Annuar Musa tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dan terlibat dalam sebarang aktiviti  sukan bolasepak dalam negara sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri.

Untuk pertuduhan pertama, Annuar Musa didapati bersalah mengeluarkan kenyataan media dan dijatuhkan hukuman penggantungan untuk tempoh dua tahun. Manakala untuk pertuduhan kedua, Annuar Musa didapati bersalah melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Ahmad Shah dan dikenakan penggantungan untuk tempoh enam bulan. Tiada rayuan dibenarkan.

Melihatkan sejarah sebelum ini, dua bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil masing-masing pernah digantung oleh FAM setelah mengkritik badan induk bolasepak negara itu.

Raja Ahmad digantung tiga tahun pada 1991 sementara Allahyarham Ahmad Basri pula dua kali digantung iaitu pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun). Ini adalah kali ketiga individu yang berjawatan tinggi dalam FAM dikenakan hukuman gantung.

Dengan penggantungan ini, jawatan Timbalan Presiden telah dikosongkan, sementara jawatan Naib Presiden yang dikosongkan sebelum ini masih belum diisi setelah Datuk Seri Hishan Abdullah meletakkan jawatan selepas diisytiharkan bankrup sebelum ini.

Dengan penggantungan ini, Annuar Musa terpaksa melepaskan semua jawatan yang dipegangnya dalam FAM mahupun KAFA. Prosiding yang berlangsung dari jam 2.45 petang sehingga 7.30 malam itu turut dihadiri hampir 400 penyokong bolasepak tempatan yang berkampung di luar Wisma FAM.