Connect with:




Menjelang pertembungan Liga Juara-Juara bertemu Liverpool pada 12 Disember depan, pengendali Napoli, Carlo Ancelotti, mula melancarkan perang psikologi terhadap kem lawan apabila denganpenuh yakin mengatakan pertembungan liga Seria A bertemu Atalanta adalah lebih sulit berbanding pertembungan di Anfield itu nanti.

Napoli menjinakkan Red Star Belgrade dengan keputusan 3-1 di Stadio San Paolo semalam untuk melonjak ke puncak Kumpulan C mengatasi Paris Saint-Germain (PSG)  yang akan bertemu Red Star Belgrade pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Andai Napoli berjaya mengelak dari tunduk di tangan skuad bimbingan Jurgen Klopp yang belum pernah kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) maka mereka akan mengesahkan satu slot di peringkat kalah mati namun pastinya ia bukan misi mudah apatah lagi sewaktu bertandang ke Anfield.

Namun begitu, Ancelotti tetap menaruh kepercayaan tinggi terhadap anak buahnya mampu menyelesaikan tugasan mereka nanti dan sebaliknya beliau lebih gusarkan pertembungan bertemu Atalanta.

“Kami perlu ke sana dengan keberanian dan bermain permainan kami. Saya yakin pemain saya tidak gentarkan Anfield dan saya tidak risaukan Liverpool.

“Sekarang kita perlu fikirkan mengenai Atalanta kerana mereka lebih sukar berbanding Liverpool yang pernah kami tundukkan pada perlawanan pusingan pertama tempoh hari,” jelas Ancelotti.

Gol pertama Marek Hamsik untuk musim ini serta dua ledakan Dries Mertens ketika bertemu Red Star Belgrade memastikan Napoli keluar sebagai pemenang pada pertembungan itu.

Meskipun cuba bangkit di separuh masa kedua namun Napoli dilihat utuh bertahan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

“Saya berpuas hati kerana kami bermain dengan intensiti tinggi selama 60 minit maka adalah penurunan sedikit terhadap persembahan pemain. Gol yang diperoleh lawan tidak seharusnya terjadi tapi saya tidak begitu terkesan.

“Tapi kita tidak boleh bermain dengan cara sama ketika bertemu Liverpool. Kami telah menunjukkan kualiti kami, kami memiliki keunggulan yang membuat kami bangga kerana kami kini sedang memimpin kumpulan paling sukar Liga Juara-Juara,” jelasnya lagi.

Setelah menelan kekalahan memeritkan di tangan PSG semalam, Liverpool juga dilihat bakal turun dengan misi wajib menang andai mahu menempah satu slot di pusingan kalah mati.

 

Foto : AFP